Home Nasional Dua suspek dipercayai ada kaitan organisasi perisikan – Zahid

Dua suspek dipercayai ada kaitan organisasi perisikan – Zahid

BAGAN DATUK, 21 April -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat tapak pameran selepas merasmikan Bangunan GIAT MARA Bagan Datuk di Hutan Melintang hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

BAGAN DATUK – Dua suspek yang menembak mati seorang pensyarah warga Palestin di Setapak, Kuala Lumpur awal pagi tadi dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Interpol (Polis Antarabangsa) dan Aseanapol (Polis ASEAN) bagi menjejaki dua lelaki itu, yang dipercayai warga Eropah, dengan kadar segera.

“Polis akan melakukan siasatan dari semua sudut biar pun mangsa dan suspek merupakan warga asing. Kita berasa kita turut bertanggungjawab (menyiasat dan menangkap suspek) sehingga tertangkap.

“Kita akan memaklumkan perkembangan kes ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan GiatMara yang baharu di Hutan Melintang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas kejadian kes penembakan mangsa yang berusia 35 tahun itu yang ditembak ketika dalam perjalanan ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 6 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek melepaskan lebih 10 das tembakan dan pemeriksaan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan di kepala dan badan mangsa, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Mazlan berkata mangsa bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta di ibu negara dan merupakan imam kedua di masjid berhampiran tempat tinggalnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya berlepas ke Turki tengah hari tadi bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa.

Beliau berkata mangsa yang merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan elektrik dan pembuatan roket dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah perisikan dari negara luar dan aktif dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang memperjuangkan isu Palestin.

“Beliau (mangsa) yang merupakan pemastautin tetap di negara ini dipercayai menjadi liabiliti sebuah negara yang bermusuhan dengan Palestin,” katanya.- BERNAMA

Pensyarah warga Palestin mati ditembak