Home Politik Pemecatan 16 anggota UMNO ikut undang-undang

Pemecatan 16 anggota UMNO ikut undang-undang

BAGAN DATUK, 21 April -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kemahiran menggunakan berus angin ketika lawatan beliau ke bengkel selepas merasmikan Bangunan GIAT MARA Bagan Datuk di Hutan Melintang hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

BAGAN DATUK – Tindakan 16 anggota UMNO dari lima buah negeri yang dipecat kerana memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam adalah mengikut ketetapan dalam perlembagaan dan peraturan UMNO.

Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana mana-mana anggota UMNO yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah, akan hilang keanggotaan mereka secara automatik.

“(Di bawah) Perlembagaan UMNO, ahli UMNO tidak boleh membawa sebarang isu berkaitan UMNO ke mahkamah dan jika ia dibawa, secara automatik akan dipecat daripada UMNO.

“Kita juga mengesyaki tindakan anggota UMNO itu didalangi pembangkang. Bagaimanapun, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mendapatkan kesahihan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan GiatMara yang baharu di Hutan Melintang di sini hari ini.

Semalam, 16 anggota UMNO mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan UMNO sebagai parti politik kerana menangguhkan pemilihan parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan 16 anggota UMNO itu jelas bertentangan dengan Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO yang menetapkan mana-mana anggota yang memfailkan pernohonan atau tindakan ke mahkamah akan hilang keanggotaan secara automatik.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tuduhan itu tidak berasas memandangkan UMNO telah meminta Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga April 2019.

Beliau berkata tindakan itu tidak perlu dilakukan kerana RoS telah mengeluarkan surat penangguhan pemilihan UMNO dan arahan itu tidak seharusnya dicabar oleh mana-mana pihak kerana itu adalah keputusan yang rasmi.

“Saya beranggapan bahawa pengumuman calon dan watikah yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas nama UMNO dilakukan mengikut perundangan dan sah di sisi undang-undang parti,” katanya.

Di JOHOR BAHRU, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk melanjutkan tempoh pemilihan parti tidak menjadi isu kepada status UMNO sebagai sebuah parti yang sah.

Beliau berkata tindakan ROS itu berdasarkan perlembagaan UMNO.

“Keputusan ROS merupakan kata putus kepada perlembagaan UMNO, jadi ROS telah meluluskan lanjutan tempoh masa pemilihan berkenaan berdasarkan kepada perlembagaan UMNO yang sekarang ini. Jadi tidak timbul isu sama ada orang mengatakan UMNO tidak sah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersama masyarakat Tiong Hua di Taman Bukit Kempas.

Menurutnya hal berkaitan UMNO itu berbeza dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kini dibubarkan sementara akibat gagal mengemukakan dokumen yang diminta ROS berhubung minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti itu.- BERNAMA

Sekumpulan 16 orang ahli heret UMNO ke mahkamah dipecat