KUALA LUMPUR – Perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands semakin ‘parah’ menjelangnya PRU-14 apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis ekoran dakwaan myPPP yang Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran memiliki dua keahlian parti politik.
Sivarraajh merupakan calon MIC yang disebut-sebut bertanding Parlimen Cameron Highlands.
Kedua-dua NGO yang membuat laporan polis terhadap Sivarrajh itu ialah Persatuan Pencegahan Dadah dan Pembangunan Pendidikan Malaysia .
Bagaimanapun dakwaan itu sudah dinafikan Sivarraajh.
Ramai melihat insiden yang berlaku ada kaitan dengan ‘perebutan’ kerusi di kawasan peranginan itu antara MIC dan myPP.
Sebelum itu, Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas disebut-sebut menjadi calon di kawasan yang sama dan mendakwa telah turun padang di Genting Highlands sejak empat tahun lepas.
Bagaimanapun kini dikatakan kerusi itu akan diserahkan kepada MIC yang juga disebut lebih layak kerana ianya kerusi tradisi malah C. Highlands juga telah di menangi oleh calon-calon parti itu sebelum ini.
Subramaniam sendiri beberapa kali sudah memberitahu secara lantang kerusi C. Highlands milik mutlak MIC malah pihaknya sangat pasti calon yang bertanding adalah pilihan partinya.
Baru-baru beratus-ratus ahli myPPP membuat demonstrasi secara aman mendesak kepimpinan tertinggi BN untuk memberikan peluang supaya Kayveas bertanding berikutan sokongan luar biasa yang di terima olehnya di C. Highlands.
Kayveas sendiri tampil memberi amaran pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dan menerima cadangan kerusi Parlimen lain selain C. Highlands kerana telah bertungkus lumus di kawasan itu sejak sekian lama malah kemenangan BN kali ini adalah tinggi kerana myPPP.
“MIC hanya hantar payung terjun yang hanya bekerja sejak enam bulan lepas. Sebelum ini, MIC langsung tidak kisah. Malah UMNO C. Highlands sendiri tahu keupayaan myPPP.
“Kita telah menganjurkan lebih 600 program selain daripada memperjuangkan nasib warga Cameron ketika MIC sibuk menyelesaikan krisis parti dalaman mereka sejak bertahun.
“Kita sendiri di hantar oleh BN untuk bekerja di sini, sekarang secara tiba-tiba ianya kerusi MIC?
“Kita boleh di berikan kerusi Segambut yang sudah di dominasi oleh DAP. Jika kalah nanti dikatakan kita tidak layak dan tidak mampu bantu BN. Cukuplah, hentikan gadaikan maruah myPPP dan saya,” tegasnya Kayveas kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Manakala Sivarraajh walaupun secara tidak pernah mengatakan dirinya calon namun sudah berkerja dan menggerakkan jentera beliau di C. Highlands.
“Saya bukan ahli myPPP. Dakwaan ini tidak benar dan mempunyai agenda tertentu. Semua ini tidak akan patahkan usaha untuk saya terus berjuang membantu masyarakat di C. Highlands,” ujarnya.
DAP pula hanya muncul setiap kali PRU dan hanya membiarkan kerajaan BN untuk terus menyumbang dan membantu warga C. Highlands pula telah meletakkan calon, M. Manogaran yang juga di katakan boleh menang ‘besar’ seandainya pertelingkahan berterusan.
Yang penting, seandainya BN mahu menyelamatkan kerusi tradisi dan kubu kuat seharusnya dengan segera mengambil keputusan drastik yang boleh menyenangkan semua pihak supaya semuanya boleh bekerjasama menumbangkan calon pembangkang.
Adalah merugikan sekiranya dengan mudah C. Highlands yang telah banyak dibangunkan menggunakan tenaga dan dana kerajaan BN diberikan dengan mudah kepada pembangkang.
Mungkin kali ini bukan lagi rezeki BN sekiranya pertelingkahan serta unsur sabotaj berterusan.- MalaysiaGazette