Home Utama Sekumpulan 16 orang ahli heret UMNO ke mahkamah dipecat

Sekumpulan 16 orang ahli heret UMNO ke mahkamah dipecat

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar kenangan bersama komuniti penduduk pada Majlis Pecah Tanah Tempat Letak Kereta Bertingkat Fasa 4B di Presint 8, Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – UMNO telah memecat sekumpulan 16 orang ahlinya berkuatkuasa serta merta hari ini kerana telah mengheret parti itu ke mahkamah semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, surat pemecatan mereka akan dikeluarkan hari ini mengikut tindakan Fasa 20.7 Perlembagaan UMNO.

Katanya, tindakan itu diambil kerana mengikut perlembagaan UMNO, mereka tidak boleh membawa masalah parti ke mahkamah dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Saya tahu apa yang sedang berlaku, puak-puak pembangkang di sana cuba buat kononnya tick-tack kerana tidak boleh jaga partinya yang sudah lemah dan bermasalah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Saya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan juga UMNO kita diminta ikut peraturan RoS yang telah pun meluluskannya. Kita memanjangkan waktu pemilihan parti pada April 2019, kalau RoS tak benarkan sudah pasti kami akur lama dah tapi itu tak berlaku.

“Saya tahu ada dalang dan kita tahu siapa dalangnya itu, dia sekarang sudah lemah dan sudah tahu akan kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14, dia membuat berbagai onar kononnya hendak menidakkan presiden Najib Tun Razak kononnya tidak boleh tandatangani tauliah dan bermacam-macam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Tengku Adnan, pemecatan mereka yang terlibat sebagai tindakan segera selepas berbincang dengan peguamnya semalam untuk memecat 16 ahli yang mengheret parti ke mahkamah.

“Hari ini surat akan dikeluarkan ke atas mereka yang bersalah,” ujar beliau.

Malah tegas beliau, sekumpulan 16 orang ahli UMNO berkenaan ‘ditanam’ oleh dalang luar kemudiannya menjadi gunting dalam lipatan, duri dalam daging bagi menentang UMNO.

“Lebih baiklah kalau nak mengkhianati parti, keluar dari parti jadi boleh mengenali siapa musuh kita, tetapi jangan duduk dalam parti seperti anai-anai.

“Kita tidak suka sebab itu saya telah menggunakan Fasa 20.7 perlembagaan parti dalam mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya.

Dalam soal berkaitan, beliau juga mengesahkan NajibĀ  tidakĀ  mempunyai masalah untuk menandatangani surat tauliah, watikah calon dan sebagainya.

“Yang bermasalah hanya parti bunga (PPBM), DAP dan PKR, UMNO dan BN tidak ada masalah kerana kita mengikut perlembagaan dan akur dengan undang-undang RoS.

“Malahan semalam kita telah menerima kesemua keputusan saringan calon-calon BN dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis dan juga Jabatan Insolvensi,” katanya sambil menjelaskan calon-calon BN akan diumumkan mengikut negeri bermula hari ini hingga Selasa ini.

Manifesto BN Wilayah Persekutuan akan diumumkan esok di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra bersama-sama dengan pengumuman calon BN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.