KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekodkan pendapatan kasar sebanyak RM9.03 bilion pada 2017, angka tertinggi sejak penubuhannya berbanding RM6.36 bilion pada tahun 2016.
Bagi tahun ke tahun, pendapatan kasar KWAP meningkat sebanyak 41.98 peratus.
Saiz dana KWAP meningkat kepada RM140,8 bilion berbanding RM125 bilion manakalan pulangan kasar pelaburan (ROI) meningkat kepada 5.77 peratus mengatasi 0.42 peratus pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, sepanjang dekad lalu, ia dapat mengekalkan purata ROI kasar sebanyak 6.14 peratus.
Dari segi Pulangan Berwajaran Masa (TWWR), KWAP mencatatkan pencapaian 9.09 peratus pada tahun 2017.
Dalam taklimat hari ini, Wan Kamaruzaman berkata, prestasi cemerlang itu sudah tentu seiring dengan cabaran terutamanya dalam hasil yang rendah dan turun naik yang tinggi pada tahun-tahun kebelakangan ini.
“Mencapai pertumbuhan aset yang mampan adalah penting bagi KWAP bagi membolehkan kami mengurus pelaburan dengan berkesan melalui portfolio yang baik, strategi kukuh pelaburan dan rangka kerja risiko mantap,” katanya.
KWAP mensasarkan untuk mencapai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM150 bilion tahun ini berbanding RM140.8 bilion pada akhir tahun lalu. – MalaysiaGazette