Home Politik Lebih ramai muka baharu BN Johor bertanding pada PRU14

Lebih ramai muka baharu BN Johor bertanding pada PRU14

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah merupakan muka baharu yang dicalonkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu pejabat UMNO Johor sebentar tadi.

Menurut Mohamed Khaled, penyandang Parlimen Pasir Raja Dr Adham Baba kembali ke Parlimen Tenggara selepas meninggalkan kawasan itu selama dua penggal.

Katanya, penyandang kerusi Parlimen Tenggara pula Datuk Halimah Sadique berpindah sebagai calon Parlimen Kota Tinggi pada PRU kali ini.

Dalam pada itu tambah beliau, penyandang kerusi Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad diputus oleh pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan kedudukannya di Parlimen berkenaan.

BN Johor menampilkan seramai 37 muka baharu iaitu lima daripadanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan 32 lagi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah itu ia menunjukkan BN menampilkan lebih 45.1 peratus muka baharu pada PRU kali ini.

BN bertanding di semua kerusi di negari itu iaitu sebanyak 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN. – MalaysiaGazette