Home Utama Mohd Puad Zarkashi harus terima hakikat – TPM Zahid

Mohd Puad Zarkashi harus terima hakikat – TPM Zahid

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi

KUCHING – Keputusan tidak meletakkan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) adalah berdasarkan kepada hasil penilaian landskap politik di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu harus menerima hakikat bahawa kawasan itu berada dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.

Beliau berkata dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan dari tangan PKR.

“…tapi kalau ada kawasan PDM (bilik gerakan pusat daerah mengundi) buat sementara ditutup sebab protes dan beliau sendiri akan bertanding atas tiket apa sekalipun, itu hak beliau,” katanya dalam satu persidangan media di penghujung lawatan kerja beliau ke Sarawak, di bilik VIP, lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

“…tapi (kalau itu berlaku) beliau tidak menunjukkan semangat kepartian yang tinggi walaupun dia salah seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Pengarah Jasa. Negara ini adalah negara demokrasi, terserah kepada beliau,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Mohd Puad akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 ini selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN yang akan bertanding di Johor.

Ahmad Zahid berkata beliau sendiri (Zahid) pernah menerima tekanan lebih hebat sebelum ini, namun menurutnya sebagai “orang parti ” semangat kepartian harus mengatasi kepentingan lain.

“Kalau saya dalam kedudukan beliau (Puad), saya tidak akan keluar parti, apa lagi bertanding sebagai calon Bebas, ” katanya.

Menurutnya Mohd Puad sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada 2013, namun nasib tidak menyebelahinya, dan Mohd Puad juga pernah dilantik sebagai senator dan diberi peranan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini.

Merujuk kepada persiapan PRU di Sarawak, Ahmad Zahid berkata BN perlu berfikiran positif dalam usahanya memenangi kawasan pilihan raya, dan walaupun ketika ini BN negeri menghadapi sedikit masalah dalaman, namun menurutnya ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana pilihan raya.

Sementara itu semasa merujuk kepada kemungkinan kemasukan ejen-ejen dari negara asing ke dalam negara dengan niat jahat, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus memantau dengan teliti sekiranya ejen-ejen dari negara asing ini dapat membolosi negara dengan menggunakan pasport dari negara yang ada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Saya yakin perkara ini walaupun sukar, tapi tidak mustahil dan akhirnya kebenaran akan berpihak kepada kita. Kita memang tahu ada sebuah negara di Timur Tengah menggunakan apa cara sekalipun untuk membunuh individu dari negara Palestin yang pakar dalam bidang tertentu, supaya tidak berlaku ‘intifada´, atau kebangkitan Palestin.”

“Kita tahu rakyat palestin ada di serata dunia sebagai ahli profesional dan juga ahli akademik, kerana hak mereka dinafikan oleh sebuah negara yang memusuhi mereka, ” katanya.

Beliau berkata kes pembunuhan rakyat Palestin di Sentul baru-baru turut berlaku di negara-negara Eropah, terhadap warga Palestin yang datang mencari rezeki di negara berkenaan, dan beliau yakin polis akan dapat mendakwa mereka yang terlibat dengan kes pembunuhan di Sentul itu nanti.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta sebagai bantuan kepada empat sekolah Cina yang terdiri daripada Tadika Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 7 Matang; SJK Chung Hua Batu 11, Matang; SJK Chung Hua Batu 35, bahagian Serian; dan SJK Chung Hua Syn San Too, Padawan dekat sini.

— BERNAMA