Home Politik MIC kekal bertanding di C. Highlands, Buntong

MIC kekal bertanding di C. Highlands, Buntong

Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam bergambar bersama calon pada sidang media khas mengenai calon MIC yang akan bertanding dalam PRU-14 di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Teka teki siapa akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong yang memiliki majoriti masyarakat India terbesar di negara ini akhirnya terjawab apabila calon MIC, Thangarani Thiagarajan terpilih sebagai calon pada PRU-14 ini.

Sebelum ini, terdapat sedikit ‘pergeseran’ berhubung kerusi itu kerana myPPP turut mengintai untuk bertanding bagi DUN tersebut.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam membuat pengumuman rasmi berhubung calon yang bertanding pada PRU-14 berkata, parti itu akan bertanding di sembilan Parlimen dan 18 buah kerusi DUN.

Jelas Subramaniam, beliau yakin MIC akan ‘menang besar’ sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi parlimen dan beberapa kerusi DUN.

“Sememangnya kita mahu berikan lebih banyak peluang kepada pemimpin berkaliber dalam parti ini tetapi apakan daya, kerusi yang kita ada terhad maka kita terpaksa menapis dan beri yang terbaik.

“Kita yakin strategi dan pemilihan calon kali ini adalah untuk memastikan kemenangan besar terutamanya di beberapa kawasan yang sebelum ini tampak seperti sukar. Calon-calon kita sudah bersedia untuk ‘bertempur’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memperkenalkan calon-calon MIC yang bakal bertanding pada PRU-14 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Subramaniam turut memberi amaran kepada calon serta penyokong yang tidak terpilih menjadi calon agar tidak sesekali melakukan apa-apa unsur sabotaj sebaliknya membantu calon terpilih untuk menang.

“Saya mohon kepada mana-mana calon yang tidak berjaya supaya tidak kecewa atau berdendam sehingga melakukan apa-apa unsur sabotaj yang sebenarnya akan merugikan parti.

“Beri keutamaan kepada parti, anda mungkin akan diberikan peluang lain pada masa akan datang. Seandainya masih ada yang berdegil dan melakukan sesuatu di luar jangkaan, maka tindakan tegas tanpa teragak-agak akan di ambil,” ujarnya.

Sebelum ini, MIC telah bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 buah DUN namun kali ini terpaksa melepaskan kerusi DUN Hutan Melintang kepada UMNO.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang pertukaran kerusi kali ini.

Dalam pada itu, sebelum ini Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas pernah berkata parti itu menamakan dua kerusi termasuk Parlimen Cameron Highlands dan DUN Buntong.

Bagaimanapun, myPPP juga gagal mendapat peluang sebagai calon di Cameron Highlands yang mungkin akan menyebabkan parti komponen itu dikatakan mungkin keluar BN sebagai komponen.

Sebaliknya, myPPP hanya diberikan sebuah kerusi Parlimen di Segambut yang dari awal lagi di tolak oleh Kayveas namun akhirnya diterima oleh timbalan beliau, Datuk Loga Bala.- MalaysiaGazette