ALOR SETAR – Calon digugurkan dalam senarai Barisan Nasional (BN) Kedah tetap setia dengan parti walaupun ada tawaran daripada pembangkang dan akan membantu kempen semasa pilihan raya nanti.
Dalam pengumuman semalam, BN Kedah menggugurkan tiga nama penyandang; Datuk Azmi Che Husain (DUN Bayu), Datuk Ahmad Lebai Sudin (ADUN Bukit Lada) dan Prof Ismail Daut (Parlimen Merbok).
Ismail memberitahu, ada tawaran daripada pembangkang bagaimanapun beliau menolak dan mahu membantu jenteran BN kali ini untuk memenangkan calon dipilih.
“Selepas mendapat tahu nama saya tidak tersenarai, mereka ada tawarkan kepada saya untuk bertanding atas tiket pembangkang tapi saya menolaknya kerana setia bersama BN,” kata beliau semasa dihubungi.
Pendirian Ismail turut diikuti Azmi yang menyatakan kesetiaan bersama parti dan akan membantu kempen parti demi memastikan kemenangan BN Kedah.
“Saya akan menyokong penuh individu dipilih oleh parti untuk memastikan kelangsungan parti terutamanya di Kedah.
“Saya tidak menyimpan perasaan dendam dengan keputusan parti,” kata beliau.
BN Kedah semalam mengumumkan barisan calon yang terdiri daripada muka baharu dan lama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. – MalaysiaGazette