KUALA LUMPUR – PKR telah meminta calon pilihan raya untuk menandatangani perjanjian yang antaranya mengkehendaki mereka membayar ganti rugi RM10 juta kepada parti jika berundur sebelum penamaan calon atau melompat parti selepas menang.
Parti itu pada Pilihan Raya 2013 juga pernah melaksanakan pendekatan sama, tetapi ‘kadar kompaun’ pada masa itu hanyalah RM5 juta.
China Press melaporkan, PKR pada Selasa telah mengumpulkan sebahagian calonnya untuk menghadiri satu taklimat yang diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor.
Menariknya, taklimat itu dilaporkan dikendalikan oleh kumpulan pro-Rafizi Ramli dalam PKR sedangkan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mengetahuinya.
Dalam taklimat itu, calon PKR diminta menandatangani beberapa dokumen termasuk yang melarang mereka melompat parti selepas menang dalam pilihan raya.
Selain itu, calon berkenaan juga menyatakan persetujuan menyumbangkan sebahagian gaji sebagai wakil rakyat kepada parti.
Dokumen yang ditandatangani telah dikumpul balik oleh penganjur taklimat dan penanda tangan tidak menerima apa-apa salinan.
Walau bagaimanapun, beberapa calon yang dihubungi China Press memberitahu bahawa mereka tidak tahu apa-apa tentang taklimat itu.
Malahan ada yang hadir taklimat itu berasa kabur dan tidak tahu sama ada ia
adalah program nasional atau hanya terhad kepada calon Selangor.
Sumber memberitahu, PKR menyediakan dokumen untuk ditandatangani malahan menambahkan ‘kadar kompaun’ kerana kadar yang ditetapkan pada 2013 tidak dapat menghalang wakil rakyat parti itu melompat parti selepas menang.