KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini diingatkan tidak menjadi ejen kemusnahan dengan membenarkan politik fitnah parti-parti pembangkang berleluasa menjelang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
Datuk Seri Najib Razak berkata, semakin dekat dengan pilihan raya, semakin berleluasa dan dahsyat fitnah yang dilontarkan pembangkang hingga berupaya memporak-peranda dan mampu membinasakan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia sejak sekian lama.
Perdana Menteri yang menggelar keadaan itu sebagai TsunamiPHfitnah berkata, sejak seminggu dua ini banyak berita palsu dan fitnah disebarkan menerusi laman media sosial dan serta medium komunikasi seperti Whatsapp dan sebagainya.
“Pada Pilihan Rraya Umum ke-13 yang lalu, fitnah paling dahsyat dilontarkan ialah 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh yang dibawa masuk ke Malaysia menggunakan penerbangan khas untuk membuang undi di kawasan-kawasan tertentu dan bekalan elektrik terputus di pusat mengundi.
“Walaupun bukti menunjukkan sebaliknya dan pemimpin pembangkang sendiri mengakui ia tidak berlaku tetapi sehingga hari ini masih ramai percaya dakyah ini.
“Yang menghairankan saya, fitnah ini hanya memerlukan sedikit kajian dan pemikiran logik untuk dibuktikan palsu, namun akibat keghairahan berpolitik, ramai yang mempercayainya, ditipu bulat-bulat oleh pembangkang,” kata Najib menerusi blog beliau.
Tambah beliau, selepas pilihan raya pula, pembangkang terus menabur fitnah hinggakan tiada individu atau institusi yang terselamat daripada sasaran politik fitnah mereka.
Salah satu fitnah yang begitu dahsyat dan keji adalah terhadap institusi yang menjaga kebajikan jemaah Haji Malaysia, bakal tetamu Allah di Tanah Suci.
“Bertahun lamanya Lembaga Tabung Haji mencatat dividen pelaburan yang kompetitif, sering dipuji sebagai pengurusan jemaah Haji contoh, malah hubungan baik yang terus terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi, antara saya dan Raja Salman, telah membuka banyak peluang dan juga penambahan kuota haji untuk rakyat Malaysia.
“Semua ini langsung tidak diambil kira mahupun dipedulikan apabila pembangkang melempar fitnah Tabung Haji mengalami kerugian dan tak mampu membayar semula wang pendeposit.
“Akibatnya, lebih 3,000 pendeposit yang terpedaya dan termakan hasutan dan fitnah jahat pembangkang telah bertindak menutup akaun mereka. Kesannya, mereka hilang kelayakan dan giliran haji.
“Tergamaknya pembangkang memfitnah sebegini rupa, yang teraniaya adalah pak cik dan mak cik berumur, yang telah menunggu giliran ke Tanah Suci bertahun lamanya musnah dan harapan mereka kerana politik fitnah pembangkang,” tambah beliau.
Malah, katanya, kejadian kemalangan yang meragut nyawa pun menjadi fitnah dan dipolitikkan oleh pembangkang.
Najib berkata, beliau dan keluarganya turut menjadi mangsa fitnah politik pembangkang yang tidak langsung kenal erti kehormatan atau rasa bertanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat, kecuali berebut kuasa tanpa menghiraukan cara bagaimana untuk mendapatkannya.
“Sebenarnya, sejak pilihan raya yang lepas sehingga kini, jika saya menyenaraikan setiap satu lemparan fitnah yang dibuat pembangkang, boleh jadi setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka,” ujar Najib. – MalaysiaGazette