Home Ekonomi Kenaikan harga minyak beri faedah kepada Malaysia

Kenaikan harga minyak beri faedah kepada Malaysia

KUALA LUMPUR – Arab Saudi, Nigeria, Colombia dan Malaysia adalah antara negara yang bakal meraih faedah jika kenaikan harga minyak berterusan.

Penyelidikan Pasaran Nomura Global berkata, ekonomi-ekonomi baru muncul, pengimport minyak bersih dengan fundamental ekonomi lemah kemungkinan akan terkesan dengan kenaikan harga emas hitam itu berbanding pengeksport minyak bersih.

“Kami menilai impak potensi kenaikan harga minyak yang lebih tinggi di 26 ekonomi negara-negara baru muncul. Jelasnya yang mendapat manfaat adalah Arab Saudi, Nigeria, Colombia dan Malaysia manakala yang terjejas Turki, India dan Filipina, “katanya.

Kata firma penyelidikan itu, walaupun Malaysia telah menjadi pengimport bersih minyak – minyak mentah dan petroleum ditapis iaitu 0.2 peratus daripada KDNK, ia kekal sebagai pengeksport utama LNG (3.0 peratus daripada KDNK).

Oleh itu, Malaysia tetap mendapat faedah besar dengan kenaikan harga minyak yang lebih tinggi.

Menurut Nomura, inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) negara sensitif terhadap harga minyak selepas kerajaan menghapuskan subsidi.

Sekiranya paras harga minyak kekal, harga bahan bakar itu akan melonjak dengan ketara selepas pilihan raya yang akan diadakan pada 9 Mei ini dan inflasi CPI 2018 kemungkinan melepasi 2.5 peratus, kira-kira 0.6 mata peratusan bagi kenaikan AS$10 setong dalam pada harga minyak.

“Secara keseluruhannya, harga minyak yang lebih tinggi akan menimbulkan risiko kenaikan kepada unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 5.5 peratus pada 2018 daripada 5.9 peratus pada tahun 2017.
Ini seterusnya memberi peluang kepada Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan dasar monetari kepada 25 mata asas pada akhir tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette