KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) menafikan maklumat berbentuk audio yang tersebar melalui media sosial mengenai perbelanjaan kerajaan yang melibatkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Maklumat itu adalah palsu dan merupakan tuduhan tidak berasas serta berniat jahat untuk mengaitkan Kementerian Kewangan sebagai sumber rujukan, menurutnya dalam satu kenyataan.
Kementerian Kewangan kesal dengan penyebaran maklumat yang tidak benar dan telah melaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri turut menafikan dakwaan liar mengenai penyebaran berita palsu dan fitnah berkenaan Rosmah.
Pejabat Perdana Menteri berkata, dalam rakaman tersebut seorang individu mendakwa kerajaan membuat perbelanjaan tinggi kek sambutan hari jadi isteri perdana menteri dan kos memasang dua kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Rosmah di Putrajaya.
Individu itu menyebut sumber beritanya adalah daripada seorang rakannya yang bertugas di Kementerian Kewangan.
Individu berkenaan itu turut mendakwa kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan berjumlah RM70.1 juta sehari telah habis dicuri dan tidak dijumpai dalam Perbendaharaan Negara. – MalaysiaGazette