Home Politik GAUM anjur kempen tolak Shafie,Tun M

GAUM anjur kempen tolak Shafie,Tun M

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar (empat kiri) memegang bendera UMNO bersama ahli UMNO Bahagian Kudat ketika merasmikan Kempen Tolak Shafie-Tun M di PDM Kg Mapan Pitas, Sabah pada Isnin.

KUALA LUMPURĀ – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) telah memulakan siri jelajah kempen berbentuk ceramah rakyat yang bertajuk Tolak Shafie dan Tun Mahathir di seluruh Sabah bagi menghadapi PRU-14.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kempen itu bertujuan memberi penjelasan mengenai kegagalan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membantu rakyat Sabah sepanjang menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selama lima tahun.

“Dengan peruntukan sebanyak RM20 billion yang diberikan kepada KKLW dengan RM7.5 billion telah diberikan khusus untuk Sabah jelas terbukti sasaran membantu rakyat telah gagal dilakukan oleh Shafie.

“Ini terbukti kerana masih banyak jalan raya penghubung kampung ke kampung utama masih jelas kelihatan dalam keadaan amat daif.

“Bekalan air bersih dan elektrik juga amat mendukacitakan. Salah satu punca utama kegagalan Shafie apabila beliau memutuskan hubungan secara langsung dengan Kerajaan Negeri Sabah.

“Kerajaan negeri dan pejabat daerah langsung tidak pernah dilibatkan oleh Shafie bagi menyelesaikan masalah rakyat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu Zulkarnain merasmikan kempen anti Shafie-Mahathir yang turut dihadiri kira-kira 250 ahli UMNO Bahagian Kudat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kg Mapan Pitas, Sabah pada Isnin.

Kempen dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) Kudat sepanjang 16 hari menjelang hari pembuangan undi pada 9 Mei itu akan bermula di Parlimen Kudat dan berakhir di Parlimen Tawau, Sabah.

Zulkarnain turut membidas Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sehingga kini masih belum menjejakkan kakinya ke Sabah walaupun PRU-14 semakin hampir.

“Bagaimana Tun M mahu merealisasikan perjuangan membantu Sabah kalau beliau sendiri tidak pernah turun padang berjumpa dengan rakyat Sabah.

“Ini seolah-olah mengesahkan layanan berat sebelah Tun kepada Sabah semasa beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Katanya lagi, kekerapan kehadiran Mahathir ke Sabah ketika memerintah 22 tahun lalu boleh dihitung berbanding Datuk Seri Najib Tun Razak hampir setiap bulan akan mengunjungi Sabah dan Sarawak.

“Semasa 22 tahun Tun M menjadi Perdana Menteri kehadiran Tun M ke Sabah boleh dibilang dengan jari berbanding Datuk Seri Najib (Razak) hampir kesemua daerah di Sabah termasuk Tambunan dan Semporna dikunjungi beliau.

“Kempen ini akan mendedahkan betapa bahayanya mengundi Shafie dan Tun M kerana janji membantu Sabah amat meragukan memandangkan pengalaman lalu kedua-dua pemimpin ini jelas tidak memihak kepada rakyat di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.