KUALA LUMPUR – Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Puad Zarkashi bertindak meletakkan jawatannya atas dakwaan tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
Rata-rata menganggap tindakan itu bersifat politik merajuk apabila namanya tidak disenaraikan sebagai calon untuk merampas kembali kerusi Parlimen Batu Pahat.
Menurut Dr. Puad, tuduhan terhadap beliau adalah mereka yang tidak mengikuti sejarah politik beliau.
“(Walaupun dituduh) saya tidak lari. PRU11 tahun 2004, nama saya langsung tidak tersenarai walaupun ketika itu saya adalah Timbalan Ketua dan Setiausaha Politik (mantan) Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman.
“Saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik serta merta, tetapi saya juga tidak lari. Sehinggalah PRU13 tahun 2013 saya kalah kerana tsunami Cina. Ramai tokoh lain juga kalah, tetapi mereka tetap dapat bertanding kali ini.
“Saya juga tidak lari. Pada PRU14 ini, saya digugurkan dalam tempoh 24 jam setelah menerima panggilan, dan sebelumnya ditemui oleh Tan Sri Fatmi Che Salleh yang mengesahkan pencalonan saya,” jelas Puad.
Fokus juga kini tertumpu kepada status bekas Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas yang mengumumkan perletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin lalu.
Kayveas didakwa mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti serta prinsip BN.
Isu ini dipercayai berlaku apabila beliau gagal dicalonkan di Parlimen Cameron Highlands yang menjadi milik MIC.
Tumpuan juga terarah kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang turut digugurkan dari senarai nama Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata nama Isa Samad termasuk dalam senarai calon negeri itu yang telah dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan bertanding pada PRU14.
Pada PRU-13 lalu, episod merajuk dengan parti sering berlaku sebelum proses penamaan calon dijalankan.
Antaranya, bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar apabila BN mencalonkan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon di Kuala Kangsar.
Kerusi itu sebelum ini dikuasai Wanita UMNO, antaranya bekas ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz sejak 1986. -MalaysiaGazette