Home Nasional Aktif kerja amal di Kanada, Sabariah dianugerah pingat dari Sultan Johor

Aktif kerja amal di Kanada, Sabariah dianugerah pingat dari Sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Dato Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datin Paduka kepada Sabariah Hussein berikutan kerja-kerja amal yang beliau lakukan di Montreal, Kanada.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Dato Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datin Paduka kepada Sabariah Hussein berikutan kerja-kerja amal yang beliau lakukan di Montreal, Kanada. - foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Dato Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datin Paduka kepada Sabariah Hussein berikutan kerja-kerja amal yang beliau lakukan di Montrea, Kanada.

Turut berangkat pada majlis istiadat pengurniaan pingat yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini, hari ini ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Berangkat sama, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan suami kepada puteri Sultan Ibrahim, Tunku Tun Aminah, Encik Dennis Muhammad Abdullah.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda amat berbangga dan kagum dengan kerja-kerja amal yang dilakukan Sabariah, anak kelahiran negeri Johor yang kini menetap di Motreal, Kanada.

“Beliau merupakan contoh insan Islam berperibadi mulia dengan rela hati setiap hari memasak dan membantu menyediakan makanan untuk ratusan insan yang kurang bernasib baik termasuk golongan gelandangan, tanpa mengambilkira (atau menyoal tentang) agama, bangsa atau latarbelakang mereka.

“Usaha dan nilai-nilai murni yang ditunjukkan beliau patut disanjung dan diteladani,” titah Sultan Ibrahim yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.

Sabariah, 71, atau lebih mesra dengan panggilan Sister Sabria, anak kelahiran Wadihana, Johor Bahru merupakan seorang sukarelawan yang kini menetap di Kanada.

Beliau melakukan kerja-kerja amal membantu gelandangan serta mereka yang kurang bernasib baik selama lebih 20 tahun di Montreal, Kanada.

Sabariah juga telah menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan pusat perlindungan wanita yang digelar ‘Our Second Home’ dan sebahagian besar dana yang diperoleh beliau adalah daripada makanan yang dijual pada hari Jumaat di kawasan masjid di negara itu.

Beliau menetap di Kanada setelah berkahwin dengan suaminya yang merupakan rakyat tempatan selepas menamatkan pelajaran dalam bidang kulinari di Kuala Lumpur.

Pada majlis yang sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan pingat DMIJ yang membawa gelaran Dato’ kepada Pegawai Kewangan Negeri Johor, Rahim Nin. – MalaysiaGazette