ALOR SETAR – Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya bertanding di Pekan bukan memilih kerusi Parlimen Langkawi kerana musuh beliau adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Ir. Nawawi Ahmad.
Penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu hairan dengan langkah Pengerusi Pakatan Harapan yang memilih untuk bertanding Langkawi walhal niatnya adalah mahu menjatuhkan Najib.
“Niat Tun M (Mahathir) nak jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Hairan juga marah Najib, nak singkir beliau daripada sistem dan jawatan Perdana Menteri tapi datang ke Langkawi, Tun sepatutnya pi bertanding di Pekan,” kata beliau hari ini.
Nawawi yang disahkan menjadi calon bakal mencabar Mahathir mengakui masih menghormati bekas perdana menteri itu.
“Saya minta kalau boleh Tun M (bertanding) di Putrajaya ka atau pi Kubang Pasu ka atau pi mana-mana, pi Puchong pun tak pa.
“Tun datang sini (Langkawi) menyebabkan saya jadi serba salah,” katanya lagi.
Terdahulu, Mahathir mengesahkan akan bertanding di Langkawi dan tidak dikerusi lamanya Kubang Pasu walaupun itu merupakan kerusi yang disandangnya ketika menjawat jawatan perdana menteri.
Pengkritik menyifatkan Mahathir tidak yakin dengan sokongan dikawasan beliau sendiri dan melarikan diri ke kerusi selamat.
Semasa pilihan raya umum ke-13 lalu, Barisan Nasional memenangi semua kerusi DUN di Langkawi, Ayer Hangat dan Kuah serta kerusi Parlimen. – MalaysiaGazette