PAGOH – Barisan Nasional (BN) Pagoh tidak bimbang dengan pencabar-pencabarnya yang akan bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Datuk Noriah Mahat berkata, BN di kawasan tersebut telah melakukan gerak kerja sejak PRU13 lalu.
“Kita telah laksanakan banyak perkara seperti turun padang di setiap kawasan bertemu dengan pengundi.
“Kita jumpa dengan orang sakit, orang tua yang sudah uzur serta petani,” katanya kepada MalaysiaGazette di kediamannya di sini hari ini.
Noriah berkata, beliau yakin pengundi di kawasan tersebut bijak dalam membuat keputusan memilih wakil rakyat terutama calon daripada parti yang telah banyak berjasa kepada mereka.
Katanya, meskipun pencabar BN di kawasan itu merupakan seorang yang sangat dikenali dan rapat dengan pengundi-pengundi di situ, namun penyertaannya dengan parti pembangkang diyakini tidak akan mampu menambat hati pengundi di kawasan tersebut.
“Pengundi di sini tahu mengenang jasa. Mereka tidak akan terpengaruh dengan sesiapa terutamanya calon daripada parti lain.
“Kita hari-hari mendekati pengundi dengan program-program dan setiap apa yang kami buat pasti akan mendapat sambutan yang sangat ramai,” ujarnya.
BN meletakkan dua calon bagi kerusi DUN di kawasan Parlimen Pagoh pada PRU14 nanti.
Selain Noriah yang akan bertanding di DUN N08, Bukit Pasir (Jorak), satu kerusi lagi akan ditandingi oleh Mohd Noor Taib di kawasan N07 Bukit Kepong.
Manakala, kerusi Parlimen Pagoh bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila PAS turut mencalonkan anak Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, iaitu Ahmad Nawfal. – MalaysiaGazette