
KUALA LUMPUR – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa antara kerusi panas dan menjadi tumpuan ramai kerana penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dimalukan adiknya sendiri, selebriti Azwan Ali yang mahu mencabar menteri besar sELANGOR itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Meskipun umum sedia maklum Azwan tidak mungkin menewaskan penyandang kerusi itu yang dimenangi sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), namun ia dapat mencalarkan imej dan kredibilti Mohamed Azmin selaku pentadbir Selangor.
Biarpun Azwan hanya bertanding di atas tiket Bebas dan menggunakan simbol gajah, namun gelajat selebriti kontroversi itu telah mencuri tumpuan pengundi kepada perbalahan adik-beradik yang tidak dapat dibendung lagi.
PRU14 kini menjadi medan kepada Azwan untuk mendedahkan ‘siapa sebenar’ Menteri Besar itu dan tidak kurang pula membuka pekung Mohamed Azmin agar rakyat Selangor tidak lagi memberi undi dan mandat sebagai wakil rakyat.

Azwan antara individu yang lantang mengecam Mohamed Azmin, selain pernah membuat laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah Kerajaan Negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember tahun lalu.
Perbalahan antara adik-beradik itu di medan politik dilihat sebagai satu liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR kerana aspek kekeluargaan yang diabaikan Mohamed Azmin menjadi kayu pengukur kepada keupayaannya membela kebajikan rakyat.
Sebelum ini, Azwan mendakwa beliau menyimpan dendam hampir lima tahun terhadap Mohamed Azmin kerana tidak menghargai jasa adik-beradik.
Azwan, 52, dilihat mahu menjadikan PRU14 sebagai platform untuk menjatuhkan Mohamed Azmin secara terbuka kerana dendam lamanya masih belum tercapai.
Selain itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga bakal menjadi tumpuan utama rakyat di Selangor susulan tindakannya ‘lompat’ kawasan bertanding dari Parlimen Permatang Pauh sejak dua penggal lalu ke Parlimen Pandan.
Demi menyelamatkan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar yang ditolak rakyat di Parlimen Lembah Pantai, Wan Azizah dikatakan memberikan kerusinya dengan alasan kerusi Parlimen Pandan kosong.

Kerusi Parlimen Pandan kosong selepas penyandangnya, Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).
Menariknya, kerusi panas di Selangor lebih unik selepas persempadanan semula dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengubah nama beberapa Parlimen dan DUN di negeri itu.
Antaranya kerusi Parlimen Kelana Jaya kini dikenali sebagai Subang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan disatukan menjadi Petaling Jaya, dan kerusi Parlimen Subang diubah kepada Sungai Buloh.
Lebih menarik lagi apabila bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah yang lantang mengkritik SPR kerana pilihan raya negara tidak adil kini beralih arah menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Petaling Jaya.
Penukaran nama baharu beberapa kawasan pilihan raya itu turut menyaksikan penyandang DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman bertindak lompat parti dan menyertai Parti Amanah Negara (PAN).
Ia sekali gus menjadikan DUN Paya Jaras antara kerusi panas dan bakal menjadi rebutan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zein Isma Ismail, sekali gus memperkukuhkan kedudukan BN di Parlimen Sungai Buloh di samping mempertahankan DUN Kota Damansara.
Apa pun kerusi paling panas di Selangor ialah kawasan Parlimen atau DUN dimenangi sama ada calon PH mahupun BN yang berstatus kerusi marginal atau memperolehi majoriti undi di bawah 2,000 undi pada PRU12 dan PRU13 mungkin akan tumbang kepada salah satu daripada pencabar dalam PRU14. – MalaysiaGazette