Home Politik Husam pilih lawan Takiyuddin di Parlimen Kota Bharu

Husam pilih lawan Takiyuddin di Parlimen Kota Bharu

Husam memilih untuk mencabar bekas sahabatnya, Takiyuddin di Parlimen Kota Bharu, yang mana BN turut mencalonkan muka baharu, Fikhran Hamshi.
Husam memilih untuk mencabar bekas sahabatnya, Takiyuddin di Parlimen Kota Bharu, yang mana BN turut mencalonkan muka baharu, Fikhran Hamshi.

KUALA LUMPUR – Penasihat Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Husam Musa memilih untuk bertanding di dua kerusi, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Salor, yang dimenanginya atas tiket Pas pada PRU13, dan menyertai PAN dua tahun lalu, turut bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu.

Bagaimanapun, sahabat Husam yang juga Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah tidak tersenarai sebagai calon Pakatan Harapan (PH) PRU ini.

Keputusan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Husam melawan penyandang Parlimen Kota Bharu dari Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan calon Barisan Nasional (BN) yang menampilkan anak muda serta muka baharu, Fikhran Hamshi Mohd Fatmi.

Husam dikatakan telah melakukan kesilapan besar apabila memilih untuk bertanding melawan Takiyuddin yang telah memenangi kawasan itu sejak PRU10 tahun 1999.

Ketika itu Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas Pusat bertanding di kerusi DUN Bunut Payong.

Sejak itu, beliau tidak pernah tewas dalam mana-mana PRU selepas itu, menyebabkan Kota Bharu terkenal sebagai kubu kuat Pas.

Adakah Husam yang suatu ketika dahulu disanjung oleh rakyat Kelantan sebagai pemimpin Pas yang mahir dalam politik dan pakar ekonomi dapat merobohkan kubu itu?

“Agak mustahil untuk Husam menang. Tetapi, ada kemungkinan jumlah undi yang diperolehi Takiyuddin sebelum ini akan berkurangan.

“Sebenarnya perlawanan atas sifat dendam antara Husam dengan Takiyuddin ini memberi peluang cerah kepada BN dan sekali gus menamatkan kemarau kemenangan yang diburu oleh BN Kelantan selepas tewas pada PRU8 tahun 1990.

“Yang ini (kemenangan kepada BN) ada kemungkinan, sebab penyokong atau pengundi BN sebelum ini tidak akan lari kepada calon Pas dan PH, sebaliknya pengundi Pas akan lari kepada Husam,” kata pemerhati politik tempatan, Wan Nazie Wan Hamat.

Selain Husam, tanda tanya kini tertumpu kepada Wan Abdul Rahim yang lebih dikenali sebagai Cikgu Wan Rahim.

Persoalannya, kenapa beliau tidak mengikut jejak sahabatnya yang lain, yang telah dicalonkan di beberapa kerusi DUN dan Parlimen atas lambang PKR.

Cikgu Rahim adalah antara ahli politik yang digeruni pihak lawan dan pernah menewaskan calon BN, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh pada PRU12 dengan majoriti besar iaitu 11,288 undi.

Pada PRU itu beliau mendapat 32,129 undi, manakala Mohd Fatmi hanya 20,841 undi.

Kini, anak Mohd Fatmi iaitu Fikhran Hamshi mewakili calon BN bakal menggegarkan PRU14 dengan pertandingan tiga penjuru.

Dapatkah beliau membalas dendam kekalahan bapanya? Sama-sama kita tunggu malam 9 Mei ini. – MalaysiaGazette