KUALA LUMPIR – Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah yang lunak suaranya kini memiliki mikrofon yang termahal dalam negara.
Perkara tersebut disahkan oleh Michelle Yeo wakil jenama sistem audio tersohor Sennheiser di Malaysia.
“Ya Dayang telah membuat pelaburan untuk memiliki mikrofon Sennheiser SKM 6000 digital tanpa wayar yang mempunyai harga pasaran bernilai RM45 ribu! Dan itu bermakna dia juga artis pertama di Malaysia yang mempunyai mikrofon tersebut” jelasnya.
Ini turut dikongsi di laman Instagram syarikat Acoustic & Lighting System sendiri.
Dayang kemudiannya dipetik sebagai berkata bahawa mikrofon tersebut sememangnya menetapi keperluannya sebagai penyampai lagu balada untuk tujuan keseimbangan suara.
“Biasanya kalau Dayang menyanyi dengan nada rendah, suara Dayang kedengaran besar dan apabila Dayang mencapai nada yang tinggi, suara Dayang menjadi agak nipis dan tajam.
“Jadi Dayang harus bijak mengawal mikrofon. Tapi dengan mikrofon ini, Dayang tidak perlu bersusah-payah kerana ia mampu menyeimbangkan suara Dayang dan memberikan hasil yang baik ketika membuat persembahan secara langsung,” ujar Dayang.
Penyanyi lagu ‘Seandainya masih ada cinta’ itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis Minggu Setiausaha ‘Luncheon With The Stars’ anjuran Hotel Tenera di Bangi bersama dengan Dato Jamal Abdillah. – MalaysiaGazette