PEKAN – Para penyokong parti politik diingatkan agar jangan menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketenteraman awam semasa proses penamaan calon berlangsung esok di negeri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Rahman menasihat mereka yang hadir mendengar arahan dan nasihat pihak berkuasa terutama melibatkan laluan jalan raya.
Beliau menegaskan, seramai 3,000 pegawai dan anggota telah bersiap sedia mengawal keadaan di 14 pusat penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Seperti sedia maklum, negeri Pahang ini memiliki 14 Parlimen dan pihak polis telah bersiap sedia untuk mengawal perjalanan pusat penamaan calon di 14 kawasan itu.
“Persiapan rapi sudah lama dilakukan dan Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar dan teratur esok,” katanya.
Beliau ditemui ketika membuat lawatan akhir di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Dewan itu akan menjadi pusat penamaan calon bagi Parlimen Pekan yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengulas lanjut, Rosli turut menasihati penyokong parti datang awal sekitar pukul 7 pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
Beliau menyeru mereka menjaga disiplin dan memberi kerjasama yang melibatkan kawasan parkir kereta.
“Pada masa sama, polis telah menentukan kawasan parkir di 14 pusat penamaan calon di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette