JITRA – Kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Othman Aziz dan Datuk Seri Mukhriz mengakui mereka masih berkawan dan tidak menjadikan politik sebagai alasan untuk bermasam muka antara satu sama lain.
Othman berharap politik tidak dijadikan untuk sesama mereka bermasam muka dan menggesa supaya parti bertanding mengamalkan politik sihat sebagai menghormati proses demokrasi di Malaysia.
“Sangat malang beliau memutuskan untuk ke sebelah sana memandangkan kami berdua pernah bersama suatu ketika dahulu. Tapi pilihan raya adalah pilihan raya, ia adalah tentang parti dan bukan seseorang individu.
“Saya pun selalu bercakap jangan kerana pilihan raya kita bergaduh dan bermasam muka. Ini bukan kita dan Islam sendiri pun minta supaya kita berbaik-baik dan jangan buat fitnah dan aibkan sesiapa,” kata beliau semasa ditemui ketika penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu hari ini.
Othman yang merupakan penyandang kerusi Parlimen dan Mukhriz sebelum ini berada dalam satu parti, malah kerusi ditandingi Mukhriz di Ayer Hitam sebelum ini merupakan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri dibawah Parlimen Jerlun.
Othman bersetuju dengan Mukhriz yang mahu pertembungan kali ini berlangsung dengan adil dan bebas tanpa sebarang persengketaan dengan memberikan peluang kepada rakyat untuk membuat keputusan semasa pilihan raya nanti.
“Saya sokong dengan gesaan beliau, yang mana kita perlu bertanding secara bebas dan adil, kitar biarkan rakyat buat keputusan,” ujarnnya lagi.
Dalam pada itu, Mukhriz mengakui Othman masih kawan beliau kerana sebelum ini pernah berada dalam UMNO bagaimanapun dalam politik ia sesuatu yang tidak boleh dielak apabila berlaku perbezaan pendapat dan ideologi politik.
“Kita perlu bertanding secara sihat kerana kita saling mengenali satu sama lain,” ujar beliau.
Parlimen Jerlun dan dua kerusi DUN dalam kawasannya akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pas dan Pakatan Harapan (PH) apabila ketiga-tiga parti mengesahkan meletak calon masing-masing. – MalaysiaGazette