
BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan laporan berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pesawatnya ke Langkawi disabotaj.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya masih menunggu laporan daripada Ketua Polis Kedah, Zainal Abidin Kasim dan Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Dr Che Ghazali Che Awang berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu.
“Semalam Tun Mahathir menyatakan pesawat beliau yang membawanya ke Langkawi berlaku kebocoran dan beliau menuduh ada sabotaj daripada pihak lain.
“Apabila pesawat itu ditukar kononnya ada pihak yang mahu pesawat itu disekat, saya ingin bercakap sebagai Menteri Dalam Negeri, saya telah arah polis supaya tak berpihak kepada sesiapa,” katanya dalam sidang media selepas selesai mengerjakan borang penamaan calon Parlimen Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir mendakwa juruterbang pesawat yang dinaikinya telah membatalkan penerbangan sejurus sebelum berlepas setelah mengesan beberapa kerosakan dan pembaikan segara tidak dapat dijalankan.
Beliau sepatutnya menaiki pesawat tersebut ke Langkawi bagi penamaan calon Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) pada hari ini sebagai calon Pakatan Harapan (PH).
Mengulas mengenai itu, Ahmad Zahid berkata beliau bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Dr Mahathir dan mengutuk insiden berkenaan.
“Kita tidak mahu sebarang sabotaj pada mana-mana calon dan parti. Saya bersimpati dengan apa yang dialami oleh Tun Mahathir.
“Saya harap ianya tidak dilakukan oleh pihak tertentu dan juga untuk menghalang beliau bertanding di Langkawi.
“Saya akan meminta pihak agensi penerbangan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk Tun Mahathir. Saya harap apa yang dinyatakan beliau itu bukan satu realiti yang harus dihadapi oleh mana-mana calon,” katanya lagi. -MalaysiaGazette