Home Politik Cikgu bulan tinggalkan sekolah

Cikgu bulan tinggalkan sekolah

Calon Pas P.078 Cameron Highlands, Wan Mahadir Wan Mahmud ketika hadir pada penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon P.078 Cameron Highlands di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 28 APRIL 2018
CAMERON HIGHLANDS – Selasa lalu adalah hari terakhir khidmat Cikgu Bulan di Sekolah Kebangsaan Menson di Cameron Highlands.

Pemilik nama sebenar Wan Mahadir Wan Mahmud, 46, akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pendidikan yang disertai selama 21 tahun bagi membolehkan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei depan.

Beliau sebelum ini mengajar mata pelajar matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Menson di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Tanah Rata.

Untuk rekod, pada 2016, SK Menson hanya mempunyai 197 pelajar dengan hanya 23 guru serta tujuh kakitangan sokongan.

“Saya adalah anak tempatan, anak Felda Sungai Koyan 2. Saya tahu kesusahan dan masalah masyarakat setempat,” kata Wan Mahadir yang memutuskan bersara awal, pada usia 46 tahun pada Jumaat lalu.

Beliau mendapat jolokan nama Cikgu Bulan dalam kalangan penduduk tempatan kerana aktif dalam parti PAS.

Namun, langkah sulung Cikgu Bulan dalam perjuangan membawa suara rakyat di pentas PRU kali ini berdepan cabaran getir apabila beliau bakal ditentang empat pencabar di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Saingan lima penjuru di P078 antara Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh; M Manogaran ( PKR-DAP); Mohd Tahir Kasim (Berjasa) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette