Home Politik Tian Chua akan fail petisyen

Tian Chua akan fail petisyen

Tian Chua
Tian Chua
GEORGE TOWN – PKR akan memfailkan petisyen kepada mahkamah Isnin berhubung kes kertas pencalonan Naib Presiden PKR Tian Chua ditolak oleh pegawai pengurus pilihan raya bagi kerusi Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan hari ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar semasa Ceramah Mega di Padang Kota, di sini malam ini berkata, Tian Chua telah menghubungi beliau sebelumnya untuk memaklumkan perkara tersebut.

Awal hari ini, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata keputusan untuk menolak pencalonan Tian Chua dilakukan oleh pegawai pengurus pilihan raya dan beliau boleh mengemukanpetisyen kepada mahkamah untuk memutuskan mengenai perkara itu.

“Biarlah ia dibawa ke mahkamah dan biarlah mahkamah memutuskannya. SPR akan mematuhi keputusan mahkamah,” kata Mohd Hashim pada sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk memutuskan bahawa Tian Chua telah hilang kelayakan sepenuhnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tian Chua diumumkan hilang kelayakan untuk bertanding kerusi Parlimen Batu di pusaat penamaan calon berikutan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. – MalaysiaGazette