TELUK INTAN – “Tidak benar bahawa Gerakan telah menang satu kerusi di Parlimen Batu,” demikian ulas Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong yang menjawab tuduhan kemenangan parti iti dalam media sosial.
Menurutnya, dakwaan itu adalah fitnah kerana calon di kawasan itu masih mempunyai tiga lagi pencabar di situ.
“Dalam media sosial ada kata bahawa Gerakan telah menang satu kerusi di Parlimen Batu, sebab Tian Chua tidak menjadi calon. Gerakan belum menang di situ.
“Calon kita mesti kerja kuat lagi di Parlimen Batu, sebab dalam PRU pelbagai perkara boleh jadi. Banyak lagi yang perlu dibuat oleh calon kita di sana,” katanya selepas melawat program Jualan Sentuhan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong hari ini.
Semalam, ada dakwaan bahawa Dominic Lau Hoe Chai dari Gerakan telah menang kerana penyandangnya Tian Chua gagal menjadi calon di kawasan itu.
Permohonan Naib Presiden PKR itu untuk mempertahankan kerusi P115, Parlimen Batu ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia(SPR) ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013.
Tambah Siew Keong, keadaan itu tidak membolehkan BN untuk terus selesa kerana masih ada pencabar yang bersaing untuk kerusi tersebut.
“Saya nasihatkan calon kita supaya teruskan bekerja di sana, kita serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan.
“Kita tidak ada hak untuk buat keputusan, masih ada lagi tiga calon disana,” katanya lagi.
Pada penamaan semalam, SPR mengumumkan hanya empat calon iaitu, V M Panjamothy dari Parti Bebas, Dominic Lau Hoe Chai (BN),P. Prabakaran (Bebas) dan Azhar Yahya (Pas) akan bertanding di Parlimen Batu. – MalaysiaGazette