Home Politik BN Kelantan mansuh sewa tapak, lesen niaga Bazar Ramadan

BN Kelantan mansuh sewa tapak, lesen niaga Bazar Ramadan

Hanafi memberi jaminan memansuhkan sewa tapak Bazar Ramadan untuk kesenangan rakyat mencari rezeki.
Datuk Hanafi Mamat memberi jaminan memansuhkan sewa tapak Bazar Ramadan untuk kesenangan rakyat mencari rezeki.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Kelantan akan memansuhkan bayaran permit dan lesen niaga yang sebelum ini dikenakan kerajaan negeri kepada orang ramai yang hendak berniaga di Bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini.

Setiausahanya, Senator Datuk Hanafi Mamat memberitahu, pemansuhan bayaran itu akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN untuk memerintah Kelantan pada 9 Mei ini.

“Saya ingin memaklumkan jika BN memerintah Kelantan, bayaran permit dan lesen niaga di Bazar Ramadan di seluruh negeri akan dimansuhkan.

“Mereka (peniaga) hanya perlu mendaftar dengan Majlis Daerah sahaja dan boleh menjalankan perniagaan di mana-mana tapak yang disediakan,” katanya di Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Kata Hanafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, pada zaman pemerintahan Pas di negeri itu, setiap peniaga yang mendaftar untuk berniaga di Bazar Ramadan dikenakan bayaran sebanyak RM370.

Jelas beliau, rakyat mahu berniaga mencari rezeki, tetapi kerajaan negeri sudah mengutip sumber pendapatan mereka dengan mengenakan bayaran sebanyak RM190 untuk tapak berkeluasan 10 kaki persegi, RM100 (lesen) dan RM80 (cukai sampah).

“Jika BN mengambil alih Kelantan sahaja, rakyat tidak perlu berhabiskan wang untuk mendapatkan tapak berniaga.

“Kita kecualikan apa-apa bayaran kepada kerajaan untuk berniaga di Bazar Ramadan,” katanya. – MalaysiaGazette