Home Nasional Doktor balik ke Bukit Pinang mahu ubah masa depan anak kampung

Doktor balik ke Bukit Pinang mahu ubah masa depan anak kampung

Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Mohammad Nawar Ariffin. foto IQBAL BASRI, 29 APRIL 2018
Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Mohammad Nawar Ariffin. foto IQBAL BASRI, 29 APRIL 2018

ALOR SETAR – Pelbagai kisah pahit manis ditempuhi seorang doktor ortopedik, Dr Mohammad Nawar Ariffin sebelum mencapai kejayaan.

Bersandarkan keazaman itu beliau memuruskan untuk balik ke kampung halamannya di Bukit Pinang untuk mencurah bakti dengan mengubah masa depan masyarakat setempat.

Mohammad Nawar, 42, yang telah sekian lama merantau merupakan antara pakar ortopedik termuda di Malaysia.

Beliau berkhidmat di sebuah pusat perubatan swasta dan merupakan salah seorang muka baharu yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, Mohammad teruja dengan peluang yang diberikan kepadanya untuk bertanding di kampung halaman sendiri.

“Sebenarnya sewaktu saya jadi doktor, saya banyak terlibat dengan kerja-kerja NGO, banyak terlibat dengan kerja-kerja beri bantuan perubatan dan bencana alam.

“Di situ timbulnya kesedaran ada sesuatu yang boleh saya sumbangkan di tempat saya dan negara sendiri, timbul keazaman untuk balik ke kampung beri khidmat kepada orang kampung… ini penglibatan pertama dalam pilihan raya.

“Saya amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberikan saya amanah ini dan saya teruja untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini,” kata beliau semasa diwawancara selepas selesai melawat PDM (Pusat Daerah Mengundi) di kawasannya.

Mohammad Nawar berkata, beliau mahu membawa cerita kejayaannya untuk dijadikan contoh kepada pengundi di Bukit Pinang bahawa seorang anak kampung mampu berjaya dan mahu melahirkan lebih ramai lagi tokoh lahir dari kawasan pendalaman tersebut.

“Saya ini seolah-olah anak kampung merentas satu perjalanan, banyak susahnya menimpa dalam mendapatkan ilmu dan pengalaman, akhirnya saya kembali untuk memberikan pendedahan dan peluang kerana saya yakin banyak lagi anak-anak kecil dan anak saya yang mampu tampil dengan kejayaan di Bukit Pinang,” katanya.

Fokus beliau di Bukit Pinang tertumpu dalam memartabatkan sekolah pondok di Bukit Pinang selain meningkatkan pembangunan sahsiah dalam kalangan rakyat di kawasan tersebut.

“Saya berhasrat nak tumpukan dalam kemajuan pendidikan sosial di kawasan Bukit Pinang jika diberi peluang, bukan sekadar pembangunan fizikal dan logistik tapi pembangunan kerohanian dan kepercayaan.

“Saya cuba menyelami anak kampung di sini, harapan saya untuk bersama mereka membawa suara anak kampung didengar di DUN dan membawa suara anak kampung ke arah martabat lebih tinggi,” katanya.

Anak jati Bukit Pinang itu berkelulusan dalam bidang perubatan dari Universiti Malaya dan juga merupakan seorang daripada lapan finalis calon angkasawan negara.

Mohammad Nawar pernah dinobatkan sebagai Ikon Belia Negara antara 2011-2013 selain muncul antara 10 calon terakhir dalam Program Angkasawan Negara 2006.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Panel Perundingan Perpaduan Ummah, Majlis Dakwah Negara (YADIM) dan Ahli Lantikan Menteri bagi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2011-2013. – MalaysiaGazette