KUALA LUMPUR – “Juruterbang itu ada keluarga sendiri dan sebelum take off dia mesti pastikan 100 peratus selamat,”
Itu komen Tan Sri Zulhasnan Rafique ketika ditanya isu dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) mengenai kemungkinan ada unsur-unsur sabotaj terhadap kapal terbang yang mahu dinaikinya ke Langkawi baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) menolak dakwaan sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya menerbangkan Tun M dari Subang ke Langkawi baru-baru ini.
Sebagai bekas juruterbang jet pejuang, Zulhasnan berkata, memastikan semua aspek dalam keadaan selamat merupakan disiplin syarikat dan kapten yang mahu menerbangkan sebarang pesawat.
“Saya tahu berita (Tun M dakwa disabotaj) melalui media sosial sahaja tapi pemilik syarikat kapal terbang akan menentukan kapal terbang mereka benar-benar selamat kerana mereka bawa penumpang.
“Jika ada masalah, kapal terbang tidak akan bergerak atau ada masalah teknikal syarikat tidak akan membenarkan sesiapa pun naik dan terbang ke tempat dituju,” jelasnya.
Terdahulu, bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) itu terpilih semula menjadi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Setiawangsa dan melancarkan manifestonya di sini hari ini.
Semasa sidang media, Zulhasnan yakin BN akan dapat mengekalkan kerusi itu memandangkan gerak kerja jentera BN di kawasan itu walaupun Pakatan Harapan mencalonkan bekas Exco Kerajaan Selangor, Nik Nadzmi Nik Ahmad.
“Saya galakkan sesiapa sahaja yang bertanding (termasuk Nik Nadzmi) kerana kita negara demokrasi,” ujarnya lagi.
Zulhasnan juga yakin kemunculannya semula dan masih diterima pengundi Setiawangsa.
Menurutnya, walaupun sebelum ini beliau di Amerika Syarikat (AS) namun jentera BN tetap mendampingi pengundi selepas PRU-13.
Zulhasnan sebelum ini merupakan Duta Besar Malaysia ke AS bertaraf menteri dan pada PRU-13, wakil rakyat di Setiawangsa ialah timbalannya, Datuk Fauzi Zahari.
Dalam Manifesto BN Setiawangsa ‘Jiwa Setiawangsa’ PRU-14 dengan menawarkan empat teras utama iaitu struktur, sejahtera, sihat dan selamat.
Keempat-empat teras itu diperkasakan melalui inisiatif seperti bidang keusahawanan, pendidikan, perumahan, agama, sukan, keselamatan, komuniti serta remaja dan wanita.- MalaysiaGazette
Penerbangan awam nafi dakwaan Tun M pesawat disabotaj