Home Nasional Mereka terlalu muda, tak tahu sejarah JB

Mereka terlalu muda, tak tahu sejarah JB

Shahrir Samad
Calon Barisan Nasional P.160 Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad (tiga kiri) bersama calon N.44 Larkin, Datuk Yahya Jaafar (kiri) dan calon N.45 Stulang, Ang Boon Heng (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian peniaga semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Tapak Pasar Malam Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2018.

JOHOR BAHRU – Tan Sri Shahrir Samad merasa lucu terhadap sikap pembangkang apabila cuba membangkitkan isu perumahan di negeri itu sebagai bahan dalam ceramah mereka.

Menyifatkan mereka sebagai tidak tahu sejarah bandaraya Johor Bahru, Shahrir yang juga calon parlimen berkenaan berkata, mereka yang mengkritik itu mungkin terlalu muda dan tidak tahu peristiwa pembangunan di Johor Bahru sebelum ini.

“Saya rasa di Parlimen Johor Bahru adalah yang paling unik mengenai perumahannya. Ini disebabkan di Johor bagaimana kita membuat projek gantian Flat Lumba Kuda di Bukit Chagar yang melibatkan sebanyak 2,400 keluarga.

“Ia telah menjadi contoh perumahan awam di seluruh negara kerana apabila saya terlibat dengan projek ini, banyak cadangan saya kepada kerajaan Persekutuan diterima.

“Sebelum itu saya telah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan bahawa pembinaan semula perumahan awam perlu dibina dengan rumah perlu ada tiga bilik berbandimg satu bilik pada masa itu.

“Kita kena ada perspektif yang berasaskan kepada fakta. Sebenarnya PPR (Projek Perumahan Rakyat) Seri Stulang dan Seri Iskandar telah menjadi asas kepada perumahan awam seluruh negara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Shahrir berkata demikian ketika mengulas mengenai tuduhan seorang calon pembangkang apabila menyatakan kerajan negeriĀ  gagal dalam melaksanakan penstrukturan perumahan di bandar menerusi siri ceramahnya di Taman Maju Jaya di sini semalam.

Terdahulu, Shahrir bersama jentera kempennya mengadakan lawatan ke pejabat Persekutuan Tiong Hwa di Jalan Tebrau di sini.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan, kerajaan Johor juga melaksanakan kaedah perumahan berasaskan konsep membangunkan masyarakat setinggan.

Katanya, kerajaan negeri telah berusaha menjadikan kehidupan masyarakat yang tinggal di setinggan menjalani kehidupan selesa dan langkah itu diadaptasikan menerusi pelan pembinaan perumahan awam.

“Bila dibina perumahan itu mereka yang tinggal di setinggan terus kekal tinggal di bandaraya Johor Bahru,” ujarnya. – MalaysiaGazette