Home Nasional “Tunjuk bukti kalau saya terima duit daripada jutawan” – Ka Siong

“Tunjuk bukti kalau saya terima duit daripada jutawan” – Ka Siong

Wee Ka Siong
Ka Siong bercakap kepada media selepas mengadakan walkabout bersama calon DUN Johor Jaya, Datuk Tan Cher Puk di Taman Johor Jaya di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong mencabar Liew Chin Tong mengemukakan bukti atas tuduhan yang mengaitkan beliau menerima wang jutaan ringgit daripada seorang jutawan.

Malah, Ka Siong yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Ayer Hitam menegaskan, Chin Tong boleh membuat laporan terhadap perkara itu jika dakwaannnya benar.

Menurut beliau, Chin Tong yang dicalonkan oleh DAP dengan menggunakan tiket PKR untuk bertanding di Ayer Hitam menggunakan taktik politik kotor kerana tidak menggunakan fakta yang jelas untuk membuat tuduhan seperti itu.

“Saya nak kata tak kira jutawan atau pengemis, penjaja, mahupun penoreh getah atau pesawah, siapa sahaja yang ingin mendengar ceramah Wee Ka Siong dipersilakan.

“Tapi, dengan meletak gambar yang bukan-bukan di Facebook live dan berita fitnah itu adalah taktik kotor pembangkang,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Walkabout dengan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Datuk Tan Cher Puk di sini hari ini.

Ka Siong berkata, beliau berasa sangat sedih dengan tindakan Chin Tong yang sanggup menggunakan taktik seperti itu semata-mata mahukan sokongan untuk berkempen.

Beliau menyifatkan, tindakan calon DAP itu telah mewujudkan satu budaya tidak sihat diawal kempen sebelum menjelang PRU  pada 9 Mei ini.

Katanya, beliau turut mempertikaikan dakwaan Chin Tong kononnya maklumat yang diterimanya itu diperoleh daripada ahli MCA dan beliau mahu bukti itu diperjelaskan sekiranya ada.

“Memang orang itu datang ke cermah saya tapi sebelum saya naik ke pentas mulakan ceramah dia sudah balik,” katanya tanpa menjelaskan siapa jutawan tersebut.

Ka Siong turut mengingatkan Chin Tong agar tidak menjadi seorang calon yang kaki kelentong dalam mencari sokongan pengundi.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis ke atas tuduhan tidak berasas yang dilakukan oleh Chin Tong itu, Ka Siong menegaskan tidak perlu untuk melayan pembangkang yang memang sudah diketahui suka menggunakan taktik kotor semasa musim pilihan raya.

Semalam, Chin Tong dilapor menuduh Ka Siong menerima wang jutaan ringgit daripada seorang jutawan yang datang mendengar ceramahnya di satu lokasi.

Video tuduhan Chin Tong itu turut dimuat naik di laman sosial Facebook. – MalaysiaGazette