Home Utama Belum naik takhta, DAP sudah umum menteri..

Belum naik takhta, DAP sudah umum menteri..

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah kanan) diiringi Calon Barisan Nasional (BN) N.25 Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin (empat kiri) bersorak bersama jentera wanita Barisan Nasional pada Program Ziarah Sayang DUN Kuala Sentul di Felda Dahlia Jengka 3, Maran, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2018
Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah kanan) diiringi Calon Barisan Nasional (BN) N.25 Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin (empat kiri) bersorak bersama jentera wanita Barisan Nasional pada Program Ziarah Sayang DUN Kuala Sentul di Felda Dahlia Jengka 3, Maran, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2018

MARAN – Tindakan DAP mengumumkan tiga calon parlimennya akan dilantik menjadi menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang PRU-14 menunjukkan mereka berkuasa dalam blok pembangkang.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini membuktikan PH sebenarnya diterajui oleh DAP yang berselindung di belakang parti-parti pembangkang Melayu.

Beliau menegaskan, parti cauvinis itulah yang menjadikan punca orang Melayu berpecah.

“Itu belum naik takhta sudah umum lantik menteri. Kalau sudah naik takhta macam mana?” soalnya.

“Habis mereka akan lempar Perlembagaan Negara nanti. DAP ini hanya menggunakan pemimpin Melayu sahaja.

“Justeru, saya ingatkan pengundi agar jangan emosi bila memilih, lupakan sekejap dendam atau rasa tidak puas hati demi sebuah negara aman dan nasib rakyatnya terbela,” kata Shahrizat.

Beliau berkata pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul di Jengka 3 di sini hari ini.

Turut hadir ialah calon BN DUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin dan Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang, Datuk Roslin Abdul Rahman.

Semalam, Guan Eng dilaporkan terus menunjukkan kuasa apabila mengumumkan seorang lagi calon daripada parti tersebut iaitu Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen akan dilantik menganggotai kabinet.

Pengumuman terbaharu mengenai calon Parlimen Stam­pin itu mengulangi tindakannya yang sebelum ini mengisytiharkan calon PKR Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan calon PKR Parlimen Ayer Hitam, Liew Chin Tong sebagai bakal menteri kabinet.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, rakyat boleh melihat dengan jelas kehancuran yang bakal dihadapi negara sekiranya memilih gabungan pembangkang diketuai DAP itu

Beliau menggesa pengundi supaya menolak PH yang menggunakan logo PKR pada PRU-14 jika tidak mahu Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menjadi pembuat keputusan dalam kerajaan PH kelak.

“Rakyat hanya ada dua pilihan utama iaitu memilih BN dipimpin oleh seorang pemimpin (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang kita kenal hati budi dan keikhlasannya atau pilih pembangkang dikuasai DAP.

“Kit Siang walaupun tidak menjadi Perdana Menteri, beliaulah akan buat keputusan dalam PH jika mereka berkuasa,” jelasnya. – MalaysiaGazette