BUTTERWORTH – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan, Datuk Michael Lee Beng Seng mahu pengundi memberi kepercayaan kepadanya selaku wakil orang muda.
Baru berusia 36 tahun, Beng Seng berkata, pengundi di Bagan perlu memilih BN bagi proses transformasi bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di seluruh negara.
“Pasukan saya, dibarisi pemuda yang bertenaga dan mendukung semangat berkhidmat untuk rakyat dan berazam mahu megubah landskap dan gaya hidup masyarakat di sini.
“Peluang memang tidak tinggi sangat untuk kami tapi kami sentiasa bekerja keras dan sentiasa bergerak bertemu rakyat dan mendengar masalah mereka dan menanganinya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.
Beng Seng mencabar Lim Guan Eng selaku penyandang kerusi itu penggal lalu selain calon Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan.
Lee Beng Seng yang berkerjaya sebagai usahawan teknologi maklumat di Bagan berkata, tidak ada yang mustahil sekiranya pengundi mahu melakukan perubahan.
“Beri peluang sekali, Kami mahu memastikan Bagan maju dalam ekonominya selain berpotensi berkembang menjadi tumpuan pelancongan selain mampu menjadi ‘syurga’ sajian makanan pelbagai tradisi selain kuil dan tokong lama.
“Kami juga janji akan mempertahankan dan mengekalkan keharmonian dan ekonomi negara kita dalam masa lima tahun ini sangat berkembang walaupun di peringkat global menjadi tidak menentu.
“Percayalah tidak ada yang mustahil, kami melakukan terbaik selama ini, biar pengundi menentukannya, kami pasukan muda yang sedia berkhidmat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette