KUALA LUMPUR – Tapak yang menjadi lokasi Pasar Keramat, Kuala Lumpur telah dijual kepada pemaju oleh persatuan peniaga dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa pengetahuan peniaga-peniaga di situ.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau memahami kerisauan para peniaga yang terkejut apabila mengetahui pasar yang berusia lebih 40 tahun itu telah bertukar tuan meminta mereka menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengadakan dialog dengan DBKL dan pemaju.
Beliau sendiri akan membantu para peniaga tersebut semasa sesi dialog berkenaan.
“Di sini konfliknya adalah persatuan peniaga, peniaga dan DBKL.
“Sebagai wakil rakyat saya ikut yang mana mereka suka, kalau persatuan, peniaga dan DBKL bersetuju saya tiada masalah cuma hari ini kita berdepan dengan masalah di mana DBKL telah menjual tanah kepada pemaju tanpa pengetahuan para peniaga.
“Mereka tidak tahu status tanah ini dan bagaimana dengan proses pemindahan, bila hendak buat, berapa lama ambil masa dan sebagainya.
“Perkara ini belum tahap untuk menghalau peniaga-peniaga di sini, jadi saya mintak DBKL dan persatuan peniaga, tidak kiralah siapa pengerusi dia, dia kena bawa peniaga-peniaga ini berdialog dengan DBKL kerana mereka tidak boleh buat keputusan dengan pemaju sahaja.
“Jangan hanya pengerusi dan timbalan pengerusi sahaja yang datang, sebaliknya mereka perlu bawa semua peniaga untuk berdialog sebelum membuat sebarang keputusan,” tegasnya.
Johari bercakap kepada pemberita selepas mengadakan walkabout di Pasar Keramat di sini hari ini
Menurut beliau, hasil semakan dengan DBKL, perjanjian jual beli (SPA) telah pun ditandatangani pada bulan September atau Oktober lalu dan wang pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan telah pun dibayar.
Ketika ditanya apakah Pasar Keramat masih boleh diselamatkan meskipun telah dijual, Johari berkata, kerajaan mampu mengubah keadaan tersebut sekiranya ia melibatkan kepentingan semua pihak.
Menurut Johari, beliau tidak mahu pasar tradisi itu dirobohkan sebaliknya ia perlu dibangunkan dan dimodenkan bagi memberi keselesaan kepada semua pihak termasuk peniaga, pembeli dan penduduk sekitar.
“Saya telah berbincang dengan DBKL dan meminta pemaju untuk membetulkan bumbung pasar, longkang dan mereka perlu menyediakan tempat letak kereta yang lebih selesa bagi mengelakkan kesesakan trafik di sini,” katanya.
Pasar tradisi itu menempatkan lebih 300 peniaga bumiputera yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan barangan keprluan harian. – MalaysiaGazette