KUANTAN – Faktor muka baharu dan usia bawah 40 tahun bukan penghalang buat calon Barisan Nasional (BN) untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, Tee Choon Ser berkata, sebagai calon wanita muda , beliau melihat faktor itu menjadi kelebihan bekerja untuk rakyat.
Malah kata wanita berusia 37 tahun itu,
pengalaman dalam parti MCA sejak 2004 banyak membantunya melaksanakan gerak kerja memenangi hati pengundi.
Jelas Choon Ser yang masih bujang , beliau sudah turun padang sejak beberapa tahun lalu dan amat memahami kehendak pengundi di Teruntum.
“Saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan yang mencalonkan saya. Saya mahu merampas kerusi Dun Teruntum demi BN dan ber khidmat untuk masyarakat.
“Lagipun saya sudah tinggal di Kuantan sejak usia lima tahun dan tahu apa masalah setempat di sini,” katanya pada Program Saringan Kesihatan di Taman Zurina di sini semalam.
Choon Ser menambah, antara aspirasi yang dibawa sepanjang kempen PRU14 dengan membawa kesejahteraan kepada masyarakat setempat.
Jelas beliau antaranya Pasar Besar Kuantan yang perlu dinaiktaraf kerana insfrastruktur yang semakin daif dan tidak menarik di mata pengunjung luar.
Selain itu, Choon Ser juga ingin memperkenalkan konsep riadah dan flora agar masyarakat Teruntum dan Kuantan dapat mengamalkan gaya hidup sihat di bandar. – MalaysiaGazette