Home Politik Pas Johor nasihatkan Tun M berpolitik jujur

Pas Johor nasihatkan Tun M berpolitik jujur

Abdullah Husin bercakap pada sidang media khas PAS di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Bandar Baru Uda, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2018.
Abdullah Husin.

JOHOR BAHRU – Pas Johor menasihatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar berpolitik secara jujur sepanjang kempen PRU-14.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, tindakan Mahathir yang mendakwa pesawat penerbangannya disabotaj merupakan satu dakwaan politik yang boleh menjejaskan industri penerbangan negara.

Menurutnya, tuduhan itu juga merupakan satu penghinaan apabila dakwaannya telah disanggah oleh syarikat penerbangan Vistajet sendiri.

“Mahathir telah telah membuat penghinaan kepada kemahiran dan profesionalisme para pekerja di sektor penerbangan di negara ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, pada sidang media itu juga Abdullah yang juga calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa berkata, Pas menghargai kegigihan pekerja di sektor penerbangan.

Katanya, mereka merupakan aset yang menggerakkan indsutri pelancongan dan kerana itu kerjaya mereka harus dihormati.

Pada Jumaat lalu, Mahathir mendakwa pesawatnya disabotaj pihak tertentu ketika beliau dalam perjalanan untuk ke Langkawi sempena proses penamaan calon PRU-14 di Langkawi.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diarahkan menyiasat dakwaan Mahathir bahawa penerbangannya dibatalkan sejurus sebelum berlepas kerana juruterbang mengesan sedikit kerosakan pada pesawat dan pembaikan segera tidak dapat dilakukan. – MalaysiaGazette