Home Dunia Republik Dominica putus hubungan dengan Taipei

Republik Dominica putus hubungan dengan Taipei

Menteri Luar Republic Dominica, Miguel Vargas (kiri) berjabat tangan dengan Wang Yi selepas majlis penubuhan hubungan antara kedua negara di Beijing. foto Reuters

TAIPEI – Republik Dominica memutuskan hubungan dengan Taiwan selepas hampir 80 tahun dan mengubah haluan kepada China.

Berita bahawa negara Caribbean bersetuju untuk menubuhkan hubungan diplomatik dengan China menyebabkan Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu mengutuk tindakan tersebut.

Beliau mendakwa China telah menawarkan insentif-insentif kewangan kepada Republik Dominica untuk menyokongnya.

“Presiden Danilo Medina dari Republik Dominica telah mengabaikan perkongsian jangka panjang kami, hasrat rakyat Republik Dominica dan tahun-tahun membangun dengan bantuan yang disediakan oleh Taiwan, menerima janji palsu pelaburan dan bantuan oleh China,” kata Wu.

Taiwan kini mempunyai hubungan rasmi dengan hanya 19 negara, kebanyakannya negara-negara miskin di Amerika Tengah dan Pasifik.

Panama memutuskan hubungan diplomatiknya selepas memihak kepada Beijing pada Jun tahun lepas.

Negara Caribbean itu telah menjadi sekutu diplomatik Taiwan selama 77 tahun.

Ia merupakan kemenangan diplomatik bagi Beijing yang sering menyalurkan pakej bantuan kepada negara-negara membangun.

Taipei telah bergelut untuk bersaing dengan China yang semakin berkuasa.

Diplomat utama kerajaan China, Wang Yi, memberitahu pemberita, dua negara kini akan bertukar-tukar duta.

“Keputusan yang penting dan tepat oleh Republik Dominican itu benar-benar sesuai dengan kepentingan asas negara dan rakyatnya. Kami sangat menghargainya,” kata Wang. – MalaysiaGazette