PELABUHAN KLANG – Hanya dua parti politik sahaja yang serius membangunkan negara dan membela rakyat iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Itu pengakuan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sambil menyifatkan mana-mana parti politik selain dua parti itu sebagai ‘pengacau’.
“Ada dua sahaja parti yang serius sebenarnya, satu Barisan Nasional (BN), dia guna dacing sudah senget, sudah terbalik. Satu lagi Pakatan Harapan (PH) pakai Parti Keadilan Rakyat, logo mata.
“Kalau yang lain masuk itu jangan bimbang, itu pengacau sahaja, dia nak kacau saja, mana boleh. Cukup-cukuplah,” ujar Menteri Besar Selangor itu ketika berucap pada Majlis Santai Mesra Bersama Rakyat Telok Gong di sini malam ini.
Hadir sama calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri dan penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago.
Mohamed Azmin juga berkata, rakyat perlu memilih calon wakil rakyat yang boleh membentuk kerajaan dan bukannya mensia-siakan undi dan mandat rakyat.
“Kita nak pilih ini, kuasa dalam tangan kita, kita nak pilih ini bukan kerana kawan, kita nak pilih ini bukan kerana dia sahabat kita dulu, kita nak pilih sebab wakil itu dan parti dia boleh bentuk kerajaan
“Kalau kita tahu dia tak boleh bentuk kerajaan, yang nak sia-siakan undi buat apa?” soalnya merujuk kepada Pas yang sebelum ini menjadi gabungannya membentuk kerajaan negeri.
Katanya Mohamed Azmin, parti politik sedemikian digesa tidak mengacau undi kepada PH sebaliknya beliau menyuruh supaya berkawan dengan pemimpin BN dan UMNO.
“Duduk diam-diam lah, pergi lah kawan dengan Najib, tak payah kacau, serahkan saja sokongan kepada Charles dan Azmizam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
[…] “Duduk diam-diam lah, pergi lah kawan dengan Najib, tak payah kacau, serahkan saja sokongan kepada Charles dan Azmizam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette […]