KUALA LUMPUR – Siasatan yang dibuat oleh Switzerland ke atas sebuah syarikat minyak Arab Saudi tidak ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Siasatan itu didakwa dibuat oleh pendakwa raya negara itu turut membabitkan warga negaranya dan sistem perbankan.
Setakat ini, tiada cadangan salah laku oleh 1MDB atau mana-mana pegawainya dan sehingga hari ini, syarikat milik Kementerian Kewangan itu tidak ada menerima sebarang pertanyaan.
Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab dan tercela sekiranya tindakan oleh penyiasat Switzerland itu diputarbelit dan didakwa membabitkan 1MDB dan para pemegang sahamnya.
“Kami ingin menegaskan bahawa 1MDB bukanlah subjek dalam sebarang siasatan jenayah sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa.
“1MDB bersedia untuk membantu penyiasatan mana-mana pihak berkuasa yang sah, sejajar dengan protokol antarabangsa namun sehingga hari ini, 1MDB belum menerima sebarang permintaan sedemikian,” kata 1MDB dalam satu kenyataan di sini.
Sehubungan itu, 1MDB meminta semua pihak tidak mempolitikkan apa-apa siasatan yang membabitkan pihak berkuasa Switzerland terhadap bukan warganegara Malaysia dan semasa tempoh pilihan raya umum semata-mata mahu meraihkan keuntungan politik. – MalaysiaGazette