Home Politik Walau tak tercalon, Ketua Bahagian masih perlu turun berkempen

Walau tak tercalon, Ketua Bahagian masih perlu turun berkempen

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan bertanding di DUN Suka Menanti manakala Datuk Nawawi Ahmad di Parlimen Langkawi.
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – Tidak tercalon tidak harus dijadikan alasan untuk pemimpin UMNO tidak turun membantu calon berkempen pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO negeri sudah mengeluarkan arahan supaya semua Ketua Bahagian mempergiatkan kempen di kawasan mereka dan membantu calon yang bertanding pada PRU14.

“Ketua UMNO Bahagian perlu menunjukkan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya di bahagian tanpa mengambil kira calon yang dipilih bertanding di bahagian mereka,” katanya sselepas melawat program jualan harga runtuh Parlimen Alor Setar di Taman Wira Mergong hari ini.

Jelasnya, pemimpin UMNO Bahagian tidak boleh mengabaikan calon yang terpilih dan perlu menjalankan tanggungjawab memandangkan mereka adalah pengarah pilihan raya yang bertanggungjawab atas kelancaran kempen dan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Sokongan terhadap calon-calon BN itu tidak sepatutnya diabaikan sama ada mereka terpilih menjadi calon atau tidak dipilih sebagai calon,” kata beliau.  

Dalam pada itu, Ahmad Bashah memberi jaminan program jualan harga runtuh itu akan tetap diteruskan sekiranya BN memenangi pilihan raya dan tidak terhenti begitu sahaja. – MalaysiaGazette