Home Ekonomi AirAsia X tawar laluan ke Amritsar

AirAsia X tawar laluan ke Amritsar

KUALA LUMPUR – AirAsia X membuka laluan baharu terus dari Kuala Lumpur ke Amritsar di utara India sebagai sebahagian daripada perancangan pengembangan di India pada tahun ini.

Mulai 16 Ogos 2018, khidmat empat kali seminggu akan ditawarkan kepada penumpang untuk akses ke Amritsar yang mempunyai potensi sebagai destinasi keagaamaan, pelancongan, perdagangan dan perniagaan.

Laluan ini mempunyai potensi kapasiti tahunan sebanyak 156,832 kerusi antara Kuala Lumpur dan Amritsar.

Amritsar merupakan destinasi ketiga ke India bagi AirAsia X dan destinasi ke-21 di India bagi Kumpulan AirAsia.

Dua lagi destinasi AirAsia X ke India adalah New Delhi dan Jaipur.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, ramai komuniti Sikh dan Punjabi meminta AirAsia untuk terbang terus ke Amritsar, yang menjadi Kuil Emas paling terkenal di dunia.

“Laluan baharu ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperkukuhkan kedudukan kami di India yang memberi kemungkinan untuk perluasan ke Eropah dan Amerika Utara,” katanya.

Sempena meraikan laluan itu, AirAsia X menawarkan promosi tambang termasuk semua serendah RM199 sehala untuk kerusi ekonomi dan RM699 sehala untuk kerusi Premium Flatbed yang dibuka untuk tempahan di airasia.com mulai 2 Mei sehingga 13 Mei 2018 dan melalui aplikasi telefon bimbit AirAsia untuk tempoh perjalanan antara 16 Ogos 2018 dan 27 Oktober 2018.

AirAsia X akan manawarkan operasi perkhidmatan pergi-balik 4 kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Amritsar pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad. – MalaysiaGazette