KUALA LUMPUR – Pemain badminton profesional, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chun Seang digantung selama 20 dan 15 tahun daripada menyertai sebarang pertandingan badminton kerana mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan lawan.
Penggantungan bermula dari 12 Januari tahun ini iaitu tarikh di mana kedua-dua pemain dikenakan penggantungan sementara oleh BWF.
Sepanjang tempoh tersebut juga, kedua-duanya dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton termasuk berkaitan pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.
Zulfadli turut dikenakan denda sebanyak AS$25,000 (RM98,124) manakala Chun Seang pula didenda AS$15,000 (RM58,874) oleh Panel Etika Pendengaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Keputusan dibuat selepas tiga panel bebas mendapati Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan.
Chun Seang pula didapati terbabit dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan.
Panel bebas juga mendapati kedua-dua pemain berkenaan ‘sudah lama terbabit dalam kegiatan mengatur perlawanan di beberapa kejohanan’ sejak 2013 namun Zulfadli ‘dikatakan lebih lama terbabit berbanding Chun Seang’ dan ‘bukti menunjukkan dia terbabit dalam menukar empat keputusan perlawanan.’
Zulfadli dan Chun Seang mempunyai hak untuk membuat rayuan di bawah Klausa 14 Prosedur Kehakiman BWF. – MalaysiaGazette