HULU SELANGOR – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali tunduk dengan provokasi pembangkang yang semakin menjadi-jadi menjelangnya PRU-14.
Sebaliknya, menurut Naib Pengerusi UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, komponen BN sudah muak dengan segala macam gertakan dan akan membalasnya kembali dengan mencapai kemenangan besar.
“Cukuplah kita diperlekehkan sebegini rupa. Cukuplah segala macam tohmahan, kecaman, provokasi, fitnah serta gertakan yang dilakukan oleh mereka demi menanam rasa benci rakyat kepada kita.
“Cukuplah semua jenis sumbangan dan jasa yang ditaburkan oleh kita sengaja ‘dicuri’ oleh mereka walaupun sikit pun mereka tidak menyumbang atau bekerja demi rakyat dan untuk rakyat.
“Kita tidak akan berdiam diri, kita akan balas balik setiap perbuatan mereka.
“Malah, saya juga tahu bukan senang untuk bohong rakyat kita sepanjang masa, ada satu ketika mereka akan celik dan tahu kebenaran.
“Biarlah medan peperangan PRU-14 kali ini menjadi contoh terbaik siapa kita dan diri mereka yang sebenar,” katanya ketika berucap di Progam Jalinan Kasih dengan warga Hulu Selangor di sini hari ini.
Mengulas lanjut ketika sidang media, Hishammuddin yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, pembangkang seringkali menggunakan sentimen kebencian kerana rakyat tidak mengenali pemimpin BN dengan lebih dekat dan peribadi.
“Pelbagai isu yang menyebabkan kemarahan pengundi dan masyarakat kononnya kerajaan BN sentiasa menzalimi mereka sering ditaburkan oleh pembangkang. Selain daripada itu, mereka juga suka menggunakan isu perkauman dan menyebabkan perbalahan antara satu sama lain.
“Apa lagi yang mereka boleh buat untuk terus porak perandakan negara kita? Sampai bila? Tidak apa, kita akan balas balik dengan berperang habis-habisan dengan mereka. Medan PRU ini akan tentukan siapa kita,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan tinggi terhadap calon BN di Hulu Selangor yang mampu membawa kemenangan besar kali ini.
“Pemilihan calon-calon ini tepat. Semuanya menepati ciri-ciri winnable candidate. Tidak cukup itu, kesemua calon kita adalah calon 1Malaysia, kita ada Melayu Cina dan India. Juga wakil dari sayap Wanita. Semuanya cukup. Kita akan menang besar.
“Saya juga menyeru kepada semua calon dan penyokong supaya ketepikan semua perkara peribadi dan hanya tumpukan perhatian kepada kemenangan besar untuk parti BN secara keseluruhan. Itu adalah ramuan paling penting,” ujarnya.- MalaysiaGazette