TELUK INTAN – Biarpun Pakatan Harapan (PH) dilarang memaparkan gambar Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun perkara itu masih dilanggar gabungan pembangkang itu.
Hasil tinjauan MalaysiaGazette di Teluk Intan mendapati poster yang memaparkan calon PH di kawasan itu, Nga Kor Ming turut memaparkan wajah Dr. Mahathir.
Bukan satu tetapi dua poster itu dipasang di Jalan Maharaja Lela menuju ke bandar Teluk Intan petang kelmarin.
SPR sebelum ini memberikan syarat kepada PH supaya hanya gambar calon pilihan raya mereka dan presiden parti masing-masing boleh dipaparkan dalam sebarang poster mahupun kain rentang pada PRU14.
Oleh yang demikian, hanya gambar Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang boleh digunakan disamping wajah calon parti masing-masing.
Di Seremban, PH bertindak menampal semua gambar yang memaparkan wajah Dr. Mahathir yang terdapat pada poster dan papan tanda kempen di sekitar Negeri Sembilan.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook.
SPR baru-baru ini menetapkan hanya gambar dua pemimpin utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden atau setaraf dengannya bagi parti politik yang bertanding dibenarkan dipasang pada poster kempen PRU-14.
Menurut SPR, ia merupakan syarat tambahan bagi memastikan kempen berjalan secara aman dan lancar serta tidak mengelirukan pengundi. -MalaysiaGazette