LUMUT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Lumut, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata biarpun sibuk dengan segala aktiviti politik sepanjang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), namun isu kesihatan tidak beliau abaikan.
Walaupun hanya tidur selama empat jam sehari, namun beliau mendisplinkan diri dengan melakukan senaman di awal pagi untuk kekal sihat sepanjang tempoh berkempen yang akan tamat Selasa ini.
“Sekarang saya hanya tidur selama tiga atau empat jam sahaja sehari bagaimanapun stamina perlu dibina.
“Saya bangun awal pagi dan melakukan senaman sebelum pergi ke sesuatu program. Dari segi pemakanan pula, saya tidaklah mengamalkan apa -apa tetapi kadangkala jika terlalu letih, saya akan ambil vitamin C untuk memberi sedikit tenaga,” katanya semasa membuat lawatan di Damar Laut dan Kampung Batu 4, hari ini.
Zambry yang juga Pengerusi BN negeri, turut bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor yang ditandingi beliau sebelum ini.
Pada PRU13, Parlimen Lumut dimenangi calon PKR, Mohamad Imran Ab. Hamid dengan majoriti 8,168 undi manakala DUN Pangkor dimenangi Zambry dengan majoriti 5,124 undi. – MalaysiaGazette