Home Politik Saya tidak tahu ‘berlakon’ seperti pembangkang

Saya tidak tahu ‘berlakon’ seperti pembangkang

Calon P.121 Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) beramah mesra dengan sebahagian jentera pilihan raya IPF pada Program Bersama Jentera Pilihan Raya Indian Progresif Front (IPF) sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Dewan Medan Sri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 MEI 2018.
Calon P.121 Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) beramah mesra dengan sebahagian jentera pilihan raya IPF pada Program Bersama Jentera Pilihan Raya Indian Progresif Front (IPF) sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Dewan Medan Sri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Pengundi di Parlimen Lembah Pantai khususnya masyarakat India disarankan supaya berhati-hati dengan fitnah dan janji palsu saat-saat akhir pembangkang menjelang hari mengundi pada 9 Mei ini.

Calon Barisan Nasional (BN) kawasan itu, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) sanggup melakukan apa sahaja demi mempengaruhi pengundi.

“Saya sudah berpengalaman semasa PRU-13 lalu apabila saya difitnah dengan pemilikan hartanah, soal pengundi Bangladesh, 5,000 pengundi hantu dan sebagainya.

“Jangan terpedaya dengan kata-kata emosi dan fitnah yang mereka akan taburkan semasa pilihan raya nanti, berhati-hati, kuatkan minda dan jangan berpaling tadah, jelas mereka (PKR) tidak membawa apa apa kemajuan untuk masyarakat India.

“Sepanjang musim berkempen khususnya pada tiga hari terakhir mereka akan cuba melontar pelbagai janji palsu dan fitnah kebencian terlampau ke atas BN, jangan membiarkan hati dan minda anda terperangkap dalam sarang acid mereka,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di sini malam tadi.

Raja Nong Chik yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai hadir ke Majlis Pelancaran Jentera Parti IPF dan juga bermesra bersama pengundi India kawasan Medan Selera Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.

Bercakap di hadapan kira-kira 150 masyarakat setempat, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga berkata, masyarakat India di Lembah Pantai mempunyai hubungan akrab dengannya dan ia terjalin sejak zaman persekolahannya lagi.

Ujar beliau, kerajaan kepimpinan BN satu-satunya kerajaan yang memahami naluri dan keperluan masyarakat India untuk menjamin kesejahteraan kaum minoriti itu.

“Dulu (PRU-13) anda telah mengundi PKR kali ini Tun Mahathir Mohamad bersama mereka dan cuba memperdaya anda semua.

“Jangan membiarkan diri dan emosi anda diperalatkan oleh PKR, sudahlah dua penggal diberi mandat kepada Nurul Izzah (Anwar) tapi dia lupa janji- janji kepada anda dan ‘melarikan’ diri ke Pulau Pinang.

“Kini penggantinya di Lembah Pantai kali ini pun berperangai sama, berlakon jumpa pengundi rumah ke rumah dan dia sanggup pergi sampai ke kubur demi undi.

“Saya lebih ikhlas untuk membantu anda semua sepanjang masa dan tidak tahu berlakon seperti mereka (PKR) semasa PRU-14,” katanya. – MalaysiaGazette