PARIS – Polis menahan hampir 200 orang yang bertindak memecahkan tingkap-tingkap kedai dan membakar kereta-kereta semasa tunjuk perasaan sempena Hari Buruh.
Kumpulan berhaluan kiri yang dikenali sebagai Black Blocs telah menjejaskan perhimpunan aman yang menentang reformasi buruh sektor awam yang dilaksanakan oleh Presiden Emmanuel Macron.
Polis berkata, kira-kira 1,200 penunjuk perasaan kulit hitam yang bertopeng telah menyertai demonstrasi tahunan 1 Mei oleh kesatuan pekerja.
Empat orang, termasuk seorang pegawai polis, cedera ringan.
Penunjuk perasaan telah disembur dengan gas pemedih mata dan air oleh polis dalam usaha untuk menyuraikan keadaan.
Peserta-peserta tunjuk perasaan itu telah berarak sebelum memecahkan tingkap kedai sepanjang jalan, merosakkan cawangan McDonald’s dekat stesen Austerlitz dan membakar pelbagai kenderaan.
Jurucakap kerajaan, Benjamin Griveaux menyelar penunjuk perasaan yang memakai topeng muka.
“Jika anda ikhlas, anda perlu menunjukkan dengan wajah anda. Mereka yang memakai topeng muka adalah musuh demokrasi,” katanya.
Tunjuk perasaan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap reformasi Macron.
Kakitangan keretapi telah memulakan demonstrasi sejak tiga bulan berikutan rombakan terancang terhadap syarikat SNCF yang dimiliki oleh kerajaan.
Puluhan ribu guru, jururawat dan pekerja lain juga menyertai tunjuk perasaan kakitangan kereta api pada bulan Mac lalu.
Meskipun begitu, Macron tidak akan berganjak daripada keputusannya. – MalaysiaGazette