BALING – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Baling, Mohd. Taufik Yaacob, 49 menolak gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung insiden Memali pada 1985 yang dibuat oleh Pas untuk mengenalpasti punca tragedi berdarah tersebut.
Taufik berkata, isu tersebut adalah sensitif kepada penduduk kampung di situ dan tidak ada keperluan untuk mengungkit kembali tragedi berdarah tersebut.
“Isu Memali amat sensitif, ia berlaku di kampung saya Cherok Puteh, saya tahu cerita A sampai Z.
“Biarlah ia berlalu tak perlu diungkit semula,” kata beliau semasa ditemui di Pekan Baling hari ini.
Menurutnya, isu tersebut hanya dimainkan oleh pihak tertentu untuk tujuan politik memandangkan tragedi tersebut berlaku semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sudah bertukar pegangan politiknya untuk bersama pembangkang.
“Tak perlu ungkit cerita lama untuk tujuan politik, walaupun insiden tersebut menyedihkan tapi kita kena redha dengan ketentuan takdir,” katanya.
Pas mendesak supaya kerajaan menubuhkan RCI berhubung peristiwa Memali.
Pas antara lain mempersoalkan hujah Dr Mahathir mempertahankan tindakan kerajaan pimpinannya waktu itu dan samada kebenaran kini tidak penting (bagi puak pembangkang lain) kerana memerlukan bekas Perdana Menteri itu pada Pilihan Raya Umum ke 14.
Dalam peristiwa berdarah pada 19 November 1985 itu polis telah menggempur kawasan perkampungan di Memali untuk menangkap seorang guru agama, Allahyarham Ibrahim Libya.
Seramai 14 dari mereka termasuk Ibrahim terbunuh dalam peristiwa itu manakala empat anggota polis terkorban. – MalaysiaGazette