KAJANG – Kerajaan komited membela nasib warga penjawat awam, termasuk kakitangan Jabatan Penjara Malaysia, dengan menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa dan terbaik.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim mengharapkan agar supaya kerajaan sedia ada terus didukung untuk terus menjamin nasib penjawat awam di negara ini.
“Apa yang dinikmati dan diterima kita sebagai kakitangan awam diharap tidak mudah dilupa.
“Menjelang 9 Mei ini, saya berharap anda sebagai penjawat awam dapat menjalankan tanggungjawab dengan tatatertib dan jangan salah pangka,” katanya pada majlis Penyerahan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di Kajang Perdana hari ini.
Hadir pada majlis Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Datuk Seri Zulkifli Omar dan calon BN Parlimen Hulu Langat, Azman Ahmad.
Mengulas mengenai infranstruktur itu, Alwi berkata, kemudahan yang menelan belanja sebanyak RM60.68 juta itu siap awal 10 hari, iaitu pada 16 April lalu.
“Ini satu perkembangan yang terbaik dan kerajaan akan terus komited dalam memperbaiki segala infrastruktur secara berterusan bukan sekadar melibatkan PDRM dan Imigresen sahaja secara lebih holistik,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerjaya Raya, Datuk Seri Ir. Dr. Roslan Md. Taha memberitahu, pihaknya sedang melaksanakan 49 projek Kementerian Dalam Negeri bernilai RM3.305 bilion.
“Bangunan baharu ibu pejabat Penjara Malaysia ialah salah satu daripada projek berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette